AMAH BUKAN 'PUNCHING BAG' UNTUK LEPASKAN GERAM - HAKIM

26/06/2024 07:28 PM

KLANG, 26 Jun (Bernama) -- Seorang akauntan wanita dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun dan didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengekplotasi dan mencederakan pembantu rumah warga Indonesia sekitar Februari hingga Mei 2021.

Tertuduh R. Vigneswary, 37, turut diarah oleh Hakim Zulqarnain Hassan membayar pampasan RM55,000 secara tunai  kepada pembantu rumahnya, Rosmalina berusia 55 tahun.

Zulqarnain menjatuhkan hukuman itu terhadap ibu kepada tiga anak kembar itu selepas mendapati peguam bela gagal menimbulkan keraguan yang munasabah di akhir kes pembelaan.

Ketika membaca keputusan ringkasnya, Zulqarnain berkata: “Sebagai seorang akauntan tertuduh seharusnya menggunakan kecerdikan dengan melayan mangsa dengan waras dan bukan secara emosional.

"Pembantu rumah juga manusia dan bukannya 'punching bag' untuk dilepaskan geram dan dipukul hanya kerana alasan lembab. Jelas terdapat kecederaan dan kesakitan pada mangsa yang dilakukan secara kerap sama ada di kepala, leher, telinga serta pehanya.  

"Selain tidak dibayar gaji, perbuatan mencederakan mangsa adalah jenayah. Sebagai wanita, tertuduh perlu menghormati mangsa yang lebih berusia dan sama seperti kaum ibu lain," katanya.

  Vigneswary didakwa atas empat pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kesakitan dan kecederaan pada bahagian pinggul, peha, bahagian kepala, kedua-dua telinga serta leher di sebuah rumah di Seksyen U13 Setia Alam, Shah Alam, dekat sini, sekitar Februari hingga Mei 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu turut didakwa dengan satu pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kesakitan dan kecederaan terhadap individu yang sama dengan menggunakan sudu besi panas di bahagian betis kaki pada April 2021 di tempat yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memperdagangkan pembantu rumahnya bagi maksud eksploitasi kerja paksa dengan menggunakan kekerasan di bawah Seksyen 13 (b) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007  pada Februari hingga 17 Mei 2021 di kediaman sama, yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Peguam tertuduh, Tham Weng Kin dan Ayasamy Venu memohon penangguhan pelaksanaan hukuman berikutan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan wanita itu mendapat rawatan di samping perlu mencari wang untuk membayar denda serta pampasan kepada mangsa.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Edna Lau Chia Xin (she) membantah kerana tertuduh masih boleh menerima rawatan ketika menjalani hukuman di penjara.

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan itu dan memerintahkan tertuduh membayar kesemua denda hari ini dan pampasan kepada mangsa dalam masa enam bulan, bermula tarikh jatuh hukum.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan