HILANG DARI PUSAT JAGAAN: KANAK-KANAK, REMAJA DITEMUKAN SELAMAT DI MELAKA

03/07/2024 01:03 PM

SEREMBAN, 3 Julai (Bernama) -- Seorang kanak-kanak dan dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan anak-anak yatim di Kuala Pilah sejak Jumaat, ditemukan selamat di Melaka malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata hasil maklumat orang awam, ketiga-tiganya ditemukan berada dalam jagaan ibu saudara dan nenek seorang daripada mereka di sebuah rumah.

“Kanak-kanak dan dua remaja itu berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan. 

“Mereka bersama-sama dua wanita berusia 35 dan 67 tahun itu kemudian dibawa ke Balai Polis Simpang Bekoh, Jasin kira-kira 9 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak itu dan dua remaja berkenaan kemudian diserahkan semula kepada pihak pengurusan pusat jagaan terbabit.

Semalam, media melaporkan ketiga-tiga mereka yang berusia antara 11 hingga 14 tahun dilaporkan hilang dari sebuah pusat jagaan anak-anak yatim milik badan bukan kerajaan (NGO) dan laporan kehilangan dibuat oleh pusat jagaan tersebut pada hari sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan