DUA PEKERJA BINAAN WARGA BANGLADESH MAUT TERTIMBUS TANAH

09/09/2024 05:21 PM

SHAH ALAM, 9 Sept (Bernama) -- Dua pekerja pembinaan warga Bangladesh maut selepas tertimbus dalam runtuhan tanah dan konkrit longkang di tapak pembinaan Elmina Ridge, Seksyen U15 di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 10 pagi ketika kedua-duanya sedang melakukan kerja-kerja pembinaan longkang pada kedalaman 0.3 meter di kawasan perumahan terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.29 pagi dan sembilan anggota berserta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati mangsa tertimbus dalam runtuhan tanah dan pembetung konkrit jenis ‘U’ ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja pembinaan longkang.

"Anggota bomba yang melakukan pencarian berjaya membawa keluar mangsa pertama pada 11.12 pagi sebelum seorang lagi kira-kira 20 minit kemudian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan pihaknya mendapati ketika kejadian terdapat tiga pekerja sedang memasang konkrit longkang di lokasi terbabit.

Beliau berkata tanah di bahagian tepi longkang telah runtuh secara tiba-tiba menyebabkan dinding konkrit longkang patah dan menimpa seorang daripada pekerja itu manakala seorang lagi tertimbus runtuhan tanah.

"Akibat kejadian itu kedua-dua mangsa masing-masing berumur lingkungan 30 dan 25 tahun cedera parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Seorang lagi pekerja bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Saipol Paizi Zainol yang juga Ketua Polis Balai Bukit Jelutong menerusi talian 012-578 1435 bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan