DUA PELANCONG ASING MAUT DIHEMPAP POKOK TUMBANG

18/09/2024 08:43 PM

GEORGE TOWN, 18 Sept (Bernama) -- Seorang lelaki dan anak perempuannya maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah pokok tumbang bersama bongkah konkrit runtuhan bangunan dalam kejadian di Lebuh Gereja di sini hari ini.

Pegawai Zon Daerah Timur Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Mohd Syafiq Nor Azman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.19 petang dan difahamkan ketika kejadian, mereka baru sahaja masuk ke dalam kereta yang diletakkan di pekarangan Penang Peranakan Mansion.

"Lelaki berusia 50-an itu duduk di bahagian penumpang belakang di sebelah kiri manakala wanita terbabit yang berumur 30-an berada di bahagian penumpang hadapan dan kami dimaklumkan mereka baru sahaja keluar dari bangunan pusat pelancongan itu sebelum insiden berlaku.

"Terdapat pemandu seorang lelaki warga tempatan, namun dia sempat menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Beliau berkata kejadian itu melibatkan sebatang pokok sebesar tiga pemeluk dewasa yang melekat pada bangunan di Penang Peranakan Mansion itu sebelum tumbang dan menghempap tiga kereta di kawasan tempat letak kenderaan di situ.

"Sebaik pihak bomba tiba mendapati sebatang pokok yang besar bersama konkrit bangunan telah menghempap tiga kereta dan sebuah daripadanya terdapat dua mangsa iaitu lelaki dan wanita, difahamkan kedua-duanya merupakan pelancong dari China," katanya.

Mohd Syafiq berkata pihak bomba mendapatkan bantuan kren dan beberapa agensi lain seperti Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit berikutan keadaan kereta yang remuk teruk dihempap pokok besar itu.

"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa mengambil masa tiga jam kerana pasukan penguat kuasa berdepan kesukaran berikutan cuaca hujan dan kawasan kejadian sempit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

"Pasukan perubatan yang berada di lokasi memaklumkan pemeriksaan mendapati nadi kedua-duanya sudah tiada, disahkan meninggal dunia dan mayat terus dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat," katanya.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan