POLIS PANTAU RAPI SEMUA PREMIS GISBH DI PERAK

18/09/2024 09:47 PM

IPOH, 18 Sept (Bernama) -- Semua premis dimiliki Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) di negeri ini berada dalam pemantauan rapi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pemantauan itu dilakukan secara menyeluruh dan turut melibatkan premis perniagaan yang mempunyai kaitan dengan syarikat tersebut.

“Buat masa ini kita sedang memantau rapi pergerakan GISBH di Perak dan perincian berhubung senarai lokasi mereka kita tak boleh dedahkan lagi.

“Ini (tidak didedahkan) kerana pihak polis tidak mahu siasatan yang sedang dilakukan ini terganggu dan selari dengan arahan dari Ketua Polis Negara,” katanya ketika ditemui pada Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara PDRM di sini hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal GISBH.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal GISBH dalam Ops Global mendapati mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi serta eksploitasi buruh termasuk dipaksa bekerja menjual barang.

Selain itu, Azizi mengingatkan orang ramai supaya peka dan sentiasa berwaspada terhadap keadaan hujan lebat berterusan tahap waspada yang melanda Perak ketika ini.

Beliau berkata pihaknya meminta orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan termasuk Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum melakukan sebarang aktiviti luar.

“Saya minta orang ramai supaya mengambil maklum tentang keadaan cuaca dari semasa ke semasa. Kita tak mahu keseronokan yang ingin dirasai bertukar kepada tragedi dan di pihak polis sendiri, kita sentiasa bersedia bersama agensi berkaitan bagi menghadapi fenomena yang sedang berlaku ini,” katanya.

Semalam, MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan amaran hujan berterusan tahap waspada di empat negeri Utara Semenanjung iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak berkuat kuasa sehingga esok.

Dalam kenyataan sama, agensi tersebut memaklumkan berdasarkan analisis model cuaca, penumpuan angin yang berlaku di Utara Semenanjung dan Barat Sabah dijangka berterusan hingga Sabtu ini. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan