GISBH: KEDAH SERAH KEPADA PIHAK BERKUASA JALANKAN SIASATAN, PENGUATKUASAAN

22/09/2024 06:11 PM

PENDANG, 22 Sept (Bernama) -- Kedah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung tindakan penguatkuasaan dan siasatan terhadap individu serta premis yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata sekiranya terdapat kesalahan yang dilakukan, tindakan undang-undang perlu dikenakan terhadap mereka.

“Terserah kepada pihak berkuasa untuk tangani isu itu, kalau ada benda salah kena ambil tindakan kalau tiada kesalahan kena biar, mereka ada hak untuk hidup di sini, hak yang dijamin oleh Perlembagaan.

“Kalau ada kesalahan kena ambil tindakan, tidak ada sesiapa yang terkecuali bukan GISBH sahaja, siapa-siapapun yang buat salah kena tanggung,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah di sini hari ini.

Ketika ditanya sekiranya terdapat serbuan dan pemeriksaan premis GISBH di Kedah seperti di beberapa negeri lain, Muhammad Sanusi berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Datuk Ahmad Yahaya pula berkata Dewan Ulamak parti itu menyokong tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap mana-mana pihak termasuk GISBH jika siasatan mendapati mereka melakukan tindakan yang bertentangan dengan akidah Islam dan undang-undang negara.

"Sebagai contoh, kalau siasatan mendapati berlaku penyelewengan akidah maka satu tindakan tegas perlu diambil.

"Begitu juga kalau mereka melakukan kesalahan dari sudut jenayah seperti penipuan atau penindasan terhadap kanak-kanak, tiada alasan untuk tindakan tegas tidak dikenakan,” katanya.

Mengulas tindakan beberapa negeri yang mengisytiharkan doktrin fahaman GISBH sebagai ajaran sesat, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata setiap jabatan agama Islam serta mufti di sesebuah negeri berhak berbuat demikian berdasarkan kajian masing-masing.

Tinjauan Bernama di beberapa premis yang dikaitkan dengan GISBH di Jitra mendapati ia berkunci dan dipercayai  tidak beroperasi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan