PGA RAMPAS BERAS SIAM, TAHAN PATI DALAM OP TARING WAWASAN

22/09/2024 08:35 PM

KOTA BHARU, 22 Sept (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas 400 kilogram (kg) beras Siam dan menahan tujuh pendatang tanpa izin (PATI) dalam Op Taring Wawasan Kelantan dalam dua serbuan semalam.

Komandernya SAC Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan pertama dilakukan di Kampung Jubakar, Tumpat pada 2 petang oleh sepasukan anggota Batalion 9 (PGA9). 

“Anggota yang menjalankan rondaan mengekori sebuah kereta jenis Perodua MyVi dipandu dalam keadaan mencurigakan dan suspek bertindak memecut keretanya sebelum berhenti di tepi jalan dan melarikan diri. 

"Pemeriksaan terhadap kereta itu menemukan beberapa kampit beras seberat 400 kg bernilai kira-kira RM21,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras dan rampasan diserahkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut. 

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan pada hari yang sama, sepasukan anggota Batalion 8 (PGA8) menumpaskan kegiatan penyeludupan PATI di kawasan Kampung Senor, Pasir Mas.

Beliau berkata tangkapan dilakukan selepas anggota menahan sebuah kereta dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Pemandu sempat melarikan diri. Hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki dan empat perempuan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah. 

"Kesemua PATI berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun itu disyaki warga Myanmar dan diseludup masuk ke Malaysia dari Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya sambil menambah mereka ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan