PERSIDANGAN PENYELIDIKAN GOVERNANS, INTEGRITI DAN ANTIRASUAH BANTU BINA NEGARA MAKMUR

23/09/2024 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menganjurkan Persidangan Penyelidikan 'Governans', Integriti dan Antirasuah Kali Ketiga sebagai antara usaha membina negara yang mempunyai tatakelola mantap, bebas rasuah dan makmur.

Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional SPRM Datuk Idris Zaharudin dalam kenyataan berkata persidangan bertemakan ‘Mendepani Ancaman Rasuah: Pembanterasan Secara Kolektif' itu akan berlangsung dua hari bermula 26 Sept ini di sebuah hotel di Bangi, Selangor.

Beliau berkata sepanjang persidangan, tujuh penyelidikan dari lima institusi iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan dibentangkan. 

“Persidangan kali ini turut menjadi platform dalam berkongsi dapatan penyelidikan dalam konteks tadbir urus, integriti dan antirasuah serta membincangkan isu-isu semasa berkaitan risiko rasuah, pelanggaran integriti dan kelemahan tatakelola yang boleh ditambah baik,” katanya. 

Idris berkata segala dapatan akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk dipertimbangkan dalam pembuatan dasar negara melibatkan aspek tadbir urus, integriti dan antirasuah seperti menerusi platform Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) dan Jawatankuasa Tatakelola Nasional Peringkat Kebangsaan.

“Berdasarkan dapatan dan syor hasil penyelidikan yang telah dibentangkan dalam dua siri persidangan sebelum ini (persidangan tahun 2022 dan 2023), terdapat 18 syor telah diangkat ke platform JKKTN. 

“Tujuh syor daripada 18 kertas penyelidikan yang dibentangkan sejak 2022 hingga 2023 telah diangkat menjadi substrategi dalam dokumen Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028,” katanya.

Beliau berkata antara saranan yang menjadi substrategi NACS termasuk menggubal undang-undang kawal selia pintu masuk negara, memperkenalkan Akta Perolehan Kerajaan dan menubuhkan kaukus antirasuah terdiri daripada masyarakat pribumi.

Persidangan penyelidikan tahunan itu menjadi agenda tahunan SPRM yang impaknya telah mendapat kepercayaan dan keyakinan tinggi daripada Kementerian Kewangan dalam meluluskan peruntukan kewangan dan pemberian geran kepada penyelidik.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan