BANDUAN REMAN LARI DARI HOSPITAL SUNGAI BULOH DITAHAN SEMULA

23/09/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Jabatan Penjara mengesahkan penangkapan semula banduan reman yang melarikan diri pada 18 Sept lepas semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Menurut kenyataan Jabatan Penjara, tangkapan itu dilakukan oleh pegawai penjara pada 11 pagi tadi di Terminal Bas Rapid Kuantan, Pahang berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima daripada orang awam. 

“Banduan reman terbabit telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan syor daripada Lembaga Siasatan, Jabatan Penjara akan mengambil tindakan tegas dan segera kepada mana-mana individu yang didapati cuai dalam menjalankan tugas sehingga menyebabkan berlakunya kejadian banduan lari,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penjara juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam serta mana-mana pihak yang telah membantu sepanjang operasi pencarian dijalankan.

Bernama sebelum ini melaporkan seorang banduan Penjara Sungai Buloh yang menerima rawatan di hospital berkenaan melarikan diri pada 3.56 petang, Rabu lepas.

Menurut laporan itu, polis menerima maklumat daripada pihak hospital yang memaklumkan seorang banduan tiada di katilnya dan disyaki melarikan diri.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan