KASTAM TUMPASKAN PENYELUDUPAN ROKOK DAN ARAK BERNILAI RM4.9 JUTA

23/09/2024 06:12 PM

SEREMBAN, 23 Sept (Bernama) --  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan aktiviti penyeludupan serta pengedaran rokok dan minuman keras keseluruhan bernilai RM4.9 juta dalam tiga serbuan berasingan pada Ogos dan awal September ini.

Pengarah Kastam negeri Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata bertindak atas maklumat, sepasukan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori “bonded” jenis Isuzu yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu di kawasan perumahan Jenjarom, Selangor. 

Beliau berkata hasil pemeriksaan pasukan menjumpai 5,280 tin bir 500 milimeter (ml) sebelum satu lagi pemeriksaan dilakukan di kontena gudang juga di Jenjarom menemukan 26,328 tin bir 500 ml.

"Kesemua bir dijumpai tidak mempunyai label cukai dan disyaki barangan larangan import di bawah Butiran 3 Bahagian Il Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import ) 2023.

“Kesemua barang kes bersama lori dan kontena disita di bawah Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut. Jumlah nilai keseluruhan barang sitaan ini termasuk cukai dianggarkan RM600,157," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Ilyas berkata pihaknya turut menyerbu dan melakukan pemeriksaan di sebuah gudang di  kawasan Taman Perindustrian Puchong, Selangor menjumpai sejumlah 287,500 paket rokok putih bernilai RM4.36 juta.

Beliau berkata kesemua rokok putih itu tidak mempunyai label cukai dan disyaki barangan larangan import di bawah Butiran I Bahagian ll Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kesemua barang ekshibit disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut. 

“Modus operandi sindiket adalah rokok tersebut diseludup ke negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan sah dan barangan itu disimpan dalam gudang sebelum diedarkan serta dijual di pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata JKDM mengesa orang ramai bersama-sama memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan selain dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil malah turut mendatangkan ancaman keselamatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan