AHLI GISBH DIDAPATI AMAL TAREKAT AURAD MUHAMMADIYAH - KPN

23/09/2024 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih mengamalkan Tarekat Aurad Muhammadiyah, iaitu amalan ahli kumpulan Al-Arqam yang disahkan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar pada 1994.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ia susulan penemuan risalah dan buku-buku di premis milik GISBH menerusi Op Global yang dilancarkan bulan ini. 

Razarudin berkata buku dan risalah yang dirampas telah diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata semua buku dan risalah yang dirampas dalam Op Global mempunyai kaitan dengan pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad, organisasi yang difatwakan sesat pada 1994.

"Untuk perkara ini, JAKIM dan pihak berkuasa agama yang akan menjalankan siasatan lanjut," katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Selain itu, Razarudin berkata siasatan polis terhadap GISBH kini menjurus kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dan akan menggunakan seluruh peruntukan serta undang-undang sedia ada termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau berkata ia bagi memastikan tiada usaha untuk menggerakkan kembali syarikat berkenaan pada masa akan datang selepas pihak berkuasa mengambil tindakan.

"Ketika Al-Arqam diharamkan, kita tidak mempunyai undang-undang seperti ini dan membuatkan bekas-bekas ahli Al-Arqam menubuhkan GISBH dan bergerak sebagai sebuah syarikat kini kami mahu ia ditamatkan sepenuhnya, oleh itu segala tindakan kami perlu dijalankan dengan berhati-hati," katanya.

Dalam pada itu, Razarudin turut menyeru ahli GISBH yang melarikan diri susulan Op Global supaya tampil kepada pihak berkuasa agar bantuan sewajarnya dalam pelbagai bentuk temasuk kebajikan dan sokongan psikologi dapat diberikan.

"Banyak premis yang diserbu dalam Op Global fasa empat minggu lepas didapati kosong dan dipercayai ahli yang mendiami serta menguruskan premis berkenaan telah melarikan diri," katanya sambil menambah dianggarkan GISBH disertai sebanyak 10,000 ahli termasuk kanak-kanak.

"Kita percaya sistem sokongan mereka telah musnah berikutan aset-aset dan akaun syarikat ini telah dibekukan menerusi Op Global," katanya.

Razarudin berkata berteraskan ihsan yang merupakan satu daripada enam rukun Malaysia MADANI, pihak polis amat prihatin terhadap ahli-ahli GISBH yang melarikan diri tanpa arah tuju serta tidak mempunyai tempat tinggal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan