AM

EMPAT MAUT KERETA DINAIKI TERBABAS, LANGGAR TIANG ELEKTRIK

28/06/2024 02:58 PM

KLUANG, 28 Jun (Bernama) -- Empat maut apabila kereta jenis Proton Wira yang dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas, lalu melanggar tiang elektrik di KM24 Jalan Renggam-Simpang Renggam, dekat sini, 12.18 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata Muhammad Adib Ahmad Shahfarin, 21, Muhammad Ziyad Azmi, 21, dan Ahmad Manan Zaini, 21, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan kepala, manakala Nor Aminul Fitri Nor Azmi, 21, yang turut parah pada bahagian kepala dan badan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata 14 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan satu unit jentera Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Anggota Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan empat mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas, tiga mangsa yang maut di lokasi diserahkan kepada polis.

“Seorang mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke HEBHK dan operasi ditamatkan pada pukul 1.13 pagi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan