POLITIK

PH, PN KONGSI PADANG JAYAKAN PERLAWANAN PERSAHABATAN BOLA SEPAK

30/06/2024 11:54 PM

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Pasukan bola sepak Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini berkongsi padang dalam satu perlawanan persahabatan ketika kerancakan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Perlawanan diadakan di padang perumahan Taman Pekatra di Simpang Ampat, di sini yang menggabungkan kepimpinan pemuda setempat serta Pusat daripada Pakatan Harapan (PH) mewakili Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) itu mempamerkan aksi lincah dalam permainan berlangsung secara santai hampir sejam.

Kesebelasan pasukan Akmal Nasrullah yang dipimpin bekas penyerang negara Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali Mat Yo turut dibarisi pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 Mohd Faiz Subri serta beberapa tokoh politik antaranya Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Barisan pemain PN dipimpin Muhammad Sanusi yang merupakan panglima perang kepada PN, turut dibintangi bekas pemain bola sepak negara Baddrol Bakhtiar.

Sebaik sesi bersalaman kedua-dua pasukan, sepak mula kira-kira 6.30 petang menyaksikan suasana di padang perumahan itu yang biasanya tenang bertukar meriah dengan kehadiran dan sorakan penduduk setempat termasuklah jentera daripada kedua-dua parti.

Hadir sama memberi sokongan Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi PH Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi PH Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta calon PH bagi PRK DUN Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin.

Pasukan bola sepak PH terlebih dahulu mencetak gol pertama menerusi jaringan dilakukan Akmal Nasrullah menerusi lorongan yang dibuat Faiz Subri, menyaksikan kemudiannya mendahului 2-1 pada separuh masa pertama yang bermain selama 20 minit.

Pasukan lawan kembali bangkit berselang babak kedua namun pasukan pimpinan Akmal Nasrullah nyata lebih gah meneruskan rentak kemenangan dan memperoleh kemenangan tipis 3-2 hingga tamat perlawanan.

Akmal Nasrullah ketika ditemui sejurus berakhir perlawanan berkata kejayaan program itu merupakan satu petanda baik bahawa kempen politik negara semakin matang serta unsur provokasi dan ekstrem dapat diredakan.

Beliau berkata dalam suasana kempen ini yang mungkin ada kerisauan dari segi soal keselamatan, provokasi dan sebagainya, beliau tetap melahirkan keyakinan sekiranya disusun dengan baik ia mampu menjadi medan mempereratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

“Mesej yang saya cuba sampaikan juga adalah bahawa sementara kita cuba memfokuskan dan menyelesaikan isu semasa, kita juga boleh berdamping dengan masyarakat setempat melalui aktiviti riadah ini.

“Kita mungkin datang daripada pasukan berbeza dalam pilihan raya tetapi sebenarnya kita boleh bermain bola bersama dan selesai dengan baik sebelum kita kembali dengan kempen pilihan raya pada malam ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata perlawanan persahabatan itu dilihat sebagai satu permulaan kepada kerjasama yang lebih besar kelak di samping meredakan suhu panas kempen PRK DUN Sungai Bakap antara kedua-dua parti bertanding.

“Meskipun kita bertanding, kita kenalah juga berkempen secara sihat, kerana pengundi juga menilainya,” katanya.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari dan calon PN Abidin Ismail, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan