EKONOMI

AMBANK JANGKA PENERBITAN MGS/GII YANG LEBIH RENDAH DALAM SEPARUH KEDUA

28/06/2024 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- AmBank Group Economics menjangkakan terbitan kasar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) akan berkurangan kepada RM85.5 bilion menjelang separuh kedua 2024 berbanding RM94.5 bilion yang diterbitkan pada  separuh pertama.

Bank pelaburan itu juga mengunjurkan terbitan bersih pada separuh kedua 2024 jauh lebih rendah pada RM32 bilion daripada RM55 bilion yang disaksikan semasa separuh pertama tahun ini.

“Latar belakang ini menyediakan prestasi kukuh berterusan dalam segmen utama bagi MGS/GII untuk baki tahun berdasarkan jangkaan saiz lelongan sahaja (saiz tawaran kasar dan bersih),” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Bank itu menekankan permintaan kukuh untuk tender awam pada separuh pertama 2024, dengan purata nisbah bida kepada liputan sebanyak 2.68 kali, naik berbanding 2.17 kali pada 2023.

“Kami mengaitkan permintaan mantap ini kepada pelabur yang agak teruja untuk mendapatkan dan mengunci hasil yang lebih tinggi, terutamanya untuk tenor yang lebih panjang, di tengah-tengah kadar faedah global yang memuncak termasuk jangkaan penurunan dalam hasil bon apabila bank pusat global mula mengurangkan kadar faedah dengan lebih ketara dalam beberapa bulan akan datang.

“Dengan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat dijangka mula mengurangkan kadar, mungkin seawal mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada September, kami meramalkan permintaan untuk lelongan MGS/GII akan berterusan menjelang suku ketiga 2024, dengan potensi penurunan dalam bida kepada liputan menjelang suku keempat 2024,” katanya.

AmBank menjangkakan bahawa lelongan 20 tahun dan 30 tahun MGS/GII pada separuh kedua 2024 akan menarik minat pelabur, dengan menyatakan bahawa spread lebih 30 mata asas pada 20 tahun/10 tahun dan lebih 40 mata asas pada 30 tahun/10 tahun mampu mencetuskan bidaan yang lebih besar.

Untuk tempoh yang lebih singkat, bank tersebut mengunjurkan pembukaan semula MGS 3 tahun pada Oktober serta GII 3 tahun menjelang Disember bagi melihat permintaan yang lebih baik, memandangkan jangkaan pemotongan kadar Fed mungkin berlaku pada suku keempat 2024.

“Pelarasan dasar fiskal adalah positif sederhana untuk separuh kedua 2024. Sebab utama berkaitan dengan pengumuman rasionalisasi subsidi bahan api diesel domestik baru-baru ini. Kenaikan harga pam diesel tempatan akan menjimatkan perbelanjaan subsidi kerajaan sekitar RM4 bilion setahun.

"Memandangkan pelaksanaan hanya bermula pada Jun, penjimatan mungkin hanya menyaksikan kira-kira RM2 bilion pada separuh kedua 2024, mengurangkan keperluan menambah hutang kerajaan dengan jumlah yang sama," katanya.

Bank itu juga mencatatkan kesan tidak langsung daripada peningkatan sebanyak RM10 bilion dalam perbelanjaan ekoran kenaikan gaji perkhidmatan awam selepas pelaksanaannya ditetapkan berlaku Disember 2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan