JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM PERLIS RAMPAS KANABIS BERNILAI LEBIH RM262,000

28/06/2024 07:22 PM

KANGAR, 28 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 84.67 kilogram (kg) kanabis dianggarkan bernilai RM262,477 di pesisir pantai Kampung Pulau, Simpang Empat dekat Arau pada Isnin lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata berdasarkan maklumat, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis ke lokasi berkenaan pada 7.30 pagi dan menemukan dua bungkusan mengandungi 80 ketulan mampat disyaki dadah kanabis.

Beliau berkata dadah itu diletakkan di pesisir pantai dipercayai melalui jalan laut menggunakan sampan dan akan diambil pihak ketiga bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pasukan telah menunggu di sekitar kawasan ini namun tiada sesiapa yang datang dan mengambil bungkusan terbabit. Oleh itu, tiada tangkapan dilakukan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Ismail, berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas, ia dipercayai dapat diedarkan kepada lebih 420,000 penagih dadah.

Sementara itu pada 2.40 petang hari sama, beliau berkata JKDM menahan seorang wanita tempatan kerana membawa wang tunai berjumlah RM65,160 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan  (ICQS) Padang Besar.

Ismail berkata wanita berusia 47 tahun itu dipercayai gagal membuat pengikraran mata wang dalam Borang Kastam No 7 serta tidak mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia kerana membawa mata wang melebihi jumlah bersamaan US$10,000.

Beliau berkata pegawai bertugas bertindak memeriksa beg galas wanita berkenaan selepas melalui mesin pengimbas bagasi sebelum menemukan pelbagai not mata wang Ringgit Malaysia.

Kes katanya disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan