POLITIK

TIADA SEBAB TOLAK CALON PH - FADHLINA

30/06/2024 10:46 PM

NIBONG TEBAL, 30 Jun (Bernama) -- Tidak ada sebab untuk pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menolak calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin yang telah melancarkan iltizam atau manifesto komprehensif dan jelas untuk kawasan itu.

Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata Joohari yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan  dan pentadbiran akan membawa kemakmuran kepada kawasan Sungai Bakap.

“Saya lihat tawarannya begitu menyeluruh dan komitmennya begitu jelas, tiada sebab mengapa rakyat perlu menolak beliau (Joohari) terutama dengan kepakaran beliau dalam pendidikan dan pengalaman pentadbiran,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyertai program bersama kumpulan ibu dan wanita khusus berkaitan penjagaan wajah serta fisioterapi di Taman Puteri Gunung di sini hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata menerusi manifesto itu, terdapat cadangan pembangunan fizikal selain ia turut berkait rapat dengan bidang akademik yang menjadi kepakaran Joohari  sebagai bekas pendidik.

Bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu menggariskan empat teras utama dalam iltizam atau manifesto bagi PRK berkenaan yang diambil daripada perkataan per-P.A.D.U-an iaitu P - Prasarana dan Progresif; A - Akhlak, Akademik Anak Muda; D - Damai; dan U - Untuk Semua.

PRK DUN Sungai Bakap 6 Julai ini menyaksikan Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan