POLITIK

PRK SG BAKAP: CALON PH DEKATI ANAK MUDA MENERUSI E-SUKAN

01/07/2024 12:09 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

NIBONG TEBAL, 1 Julai (Bernama) -- Menyedari ramai dalam kalangan anak muda meminati sukan digital, calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin memanfaatkan platform itu untuk mendekati pengundi muda dan pengundi kali pertama bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Selain mengadakan pertemuan secara bersemuka dan menghadiri aktiviti setempat sepanjang tempoh berkempen yang bermula 22 Jun lepas, kejohanan sukan digital atau e-sukan antara pengisian yang berjaya menjadikan dewan penuh atau ‘full house’ serta ditunggu-tunggu anak muda Sungai Bakap.

Joohari berkata pendekatan itu antara lain mampu merapatkan jurang antara orang dewasa dengan anak muda, sekali gus menarik warga muda untuk mengenali calon yang bertanding dengan lebih dekat.

“Ya, ini merupakan salah satu pendekatan, begitu juga dengan media sosial yang sesuai dengan anak muda. Jadi kali ini kita bercakap dengan cuba menggunakan laras pemikiran anak muda,” katanya kepada Bernama selepas menyantuni 75 peserta yang merupakan anak-anak muda dari Sungai Baong, sempena Kejohanan e-Sukan PUBG MADANI anjuran Persatuan Semarak Aspirasi MADANI di sini malam tadi.

Bekas guru yang mesra disapa Cikgu Joo itu berkata usaha mendidik golongan muda atau pengundi kali pertama ini memerlukan masa dan kesabaran dalam melentur mereka menjadi insan yang mempunyai tanggungjawab keluar mengundi.

“Sekarang ini kita tengok kalangan calon-calon pilihan raya (bertanding) berusia lingkungan 50an hingga 60an, jadi kadang-kadang ada jurang di antara orang dewasa dengan anak muda.

“Ia perlu mengambil masa tapi pendidikan (ilmu sistem demokrasi) itu perlu berterusan dan kesedaran tentang politik ini patut didedahkan sejak bangku sekolah ataupun di luar bilik darjah,” kata bekas pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara itu.

Sementara itu, pengarah program tersebut Haidzir Hashim berkata sebanyak 15 pasukan (empat orang setiap pasukan) menyertai kejohanan permainan video dalam talian ‘PlayerUnknown’s Battleground’ (PUBG).

Menawarkan wang tunai dan hamper sehingga tempat kelapan, beliau berkata penganjuran program itu yang melibatkan peserta berumur 16 hingga 25 tahun, mendapat sambutan luar jangka.

“Kita hanya buat di peringkat kawasan Sungai Baong sahaja dan kalau buat peringkat DUN, kami percaya sambutan sangat ramai,” katanya yang berharap usaha sedemikian mampu mencegah anak muda daripada melakukan aktiviti tidak sihat.

Joohari berdepan cabaran Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK itu, 6 Julai ini.

Kerusi DUN Sungai Bakap, yang mempunyai 39,279 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis, kosong berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan