EKONOMI

PHB ASSET MANAGEMENT DILANTIK SEBAGAI PENGURUS DANA AMANAH HARTANAH BUMIPUTERA

01/07/2024 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Pelaburan Hartanah Bhd (PHB), PHB Asset Management Bhd (PHBAM) dilantik sebagai pengurus dana baharu Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) berkuat kuasa hari ini, mengambil alih daripada Maybank Asset Management Sdn Bhd.

PHBAM dalam satu kenyataan berkata ia sudah bersedia untuk meningkatkan dana AHB daripada RM5 bilion kepada RM20 bilion menjelang tahun 2030 dengan memperkenalkan strategi pengedaran digital untuk menyediakan akses lebih besar dan mudah kepada komuniti Bumiputera yang kurang mendapat pendedahan berkaitan dana AHB.

Dana AHB adalah unit amanah patuh Shariah yang melabur terutamanya dalam pemilikan benefisial hartanah komersial di lokasi utama di Malaysia.

"Syarikat menyasarkan untuk meningkatkan cadangan nilai dana AHB dengan menyediakan perkhidmatan kewangan holistik di bawah satu produk dengan menyepadukan penyelesaian tambahan seperti takaful, hibah, wakaf dan wasiat.

"Inisiatif ini bertujuan untuk menawarkan pemegang unit AHB pendekatan yang lebih tersusun kepada penciptaan dan pengagihan kekayaan," katanya.

Selain itu, semua urus niaga untuk dana AHB kekal boleh diakses di cawangan Maybank, AmBank, AmBank Islamic dan Bank Islam di seluruh negara serta menerusi aplikasi mudah alih Maybank tersedia secara eksklusif untuk pelanggan Maybank.

Ketua Pegawai Eksekutif PHBAM Zulkifli Ishak berkata menerusi struktur harga tetap dan agihan keuntungan separuh tahunan serta ditolak zakat, AHB sesuai untuk pelabur yang menjalankan perancangan kewangan termasuk simpanan pendidikan dan persaraan.

"AHB telah berkembang daripada RM1 bilion pada 2010 kepada RM5 bilion pada 2023, memanfaatkan lebih 80,000 pemegang unit dari segi penjanaan kekayaan," katanya.

Sementara itu, PHB dan AmanahRaya Trustees Bhd masing-masing akan terus menjadi penaja dan pemegang amanah untuk dana AHB.

Pada 22 April, PHBAM menerima Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk pengurusan dana dan urus niaga dalam sekuriti untuk unit amanah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan