EKONOMI

TIDAK AKAN BERUNDUR WALAU DIKRITIK TINDAKAN TIDAK POPULAR, PENTING UNTUK KUKUH ASAS EKONOMI - PM

02/07/2024 04:11 PM

PUTRAJAYA, 2 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Kerajaan MADANI tidak akan sesekali berundur meskipun berhadapan kritikan terhadap tindakan tidak popular, antaranya berkaitan penyasaran subsidi diesel dan pembanterasan rasuah secara tegas.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mengukuhkan asas ekonomi negara memandangkan hasil negara ‘disakau’ dan subsidi pula tidak disalurkan kepada golongan sasar.

Perdana Menteri berkata penyasaran subsidi diesel perlu memandangkan aktiviti penyeludupan bahan api itu berleluasa sejak puluhan tahun dan hasil subsidi dibeli untuk kegunaan negara lain.

"(Kita) tak boleh mengenepikan keresahan rakyat kalau terbeban masalah rakyat. Maka hasil yang diperoleh itu harus dipulangkan kepada rakyat.

"Sebab itu kita harus istiqamah untuk memberi penjelasan walaupun kadang-kadang menghadapi sedikit kesukaran," katanya pada perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Anwar berkata kerajaan dilontarkan dengan pelbagai dakwaan antaranya menjual negara, ejen Israel dan Yahudi.

"Saya sering kali jawab sikit.. tapi saya tak peduli kerana saya fikir kita punyai tugas. Tidak mudah dalam negara ini kerana politik kebencian terlalu menebal," katanya.

Perdana Menteri turut menyuarakan kekecewaan kerana fakta tidak dipedulikan sama sekali dalam kritikan.

"Tak ambil gaji, dihina, banteras rasuah dengan tegas pun dihina, baik dengan Hamas pun dihina, dengan Blackrock pun dia kata ejen Yahudi. Fakta, tidak dipedulikan sama sekali.

"Jadi yang diutarakan ialah kebencian. Apakah ini harus mengganggu kita? Tidak," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan