AM

SARAWAK MAHU UNDANG-UNDANG LEBIH TEGAS TANGANI VANDALISME UTILITI - ABANG JOHARI

03/07/2024 07:33 PM

KUCHING, 3 Julai (Bernama) -- Sarawak akan mengkaji undang-undang sedia ada bagi mengenakan hukuman lebih berat dalam usaha membanteras vandalisme terhadap infrastruktur utiliti negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata beliau akan mengadakan perbincangan dengan Peguam Besar Negeri Sarawak mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

Beliau berkata undang-undang tidak seharusnya menghukum pihak pelaku sahaja tetapi peniaga barangan lusuh yang terlibat membeli barangan dicuri.

Peruntukan undang-undang sedia ada seperti Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 juga dilihat tidak begitu berat bagi menangani masalah itu, katanya.

“Hukuman sedia ada (terhadap peniaga barangan terpakai yang dicuri) sebanyak RM5,000 (bawah Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946) adalah terlalu rendah.

“Sebagai contoh, gegelung tembaga yang dicuri dan dijual boleh mencapai harga RM5,000. Pesalah boleh bayar denda tersebut dan curi lagi,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Pelancaran Kempen Pencegahan Vandalisme terhadap Kemudahan Utiliti dan Telekomunikasi 2024 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata pada tahun lepas, kes vandalisme terhadap kemudahan infrastruktur utiliti dan telekomunikasi telah melibatkan kerugian sebanyak kira-kira RM20 juta. 

“Masyarakat setempat juga perlu bekerjasama dan membantu pihak berkuasa dalam membanteras vandalisme.

“Jika ada nampak benda pelik laporkan pada pihak polis, sekarang ini teknologi canggih kita boleh kongsi lokasi melalui telefon bimbit, senang polis untuk ke lokasi kejadian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan