DUNIA

SHEIKH AL-AZHAR BANGGA TERIMA ANUGERAH IJAZAH KEHORMAT DOKTOR FALSAFAH USIM

05/07/2024 12:57 PM

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Sheikh Al-Azhar Al-Sharif Al-Imam Al-Akbar Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb menzahirkan rasa bangga di atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Saya berasa bangga kerana dua faktor. Pertama, saya menerima ijazah kehormat dalam bidang pengajian dan pengkajian sumber wahyu Islam iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah.

“Kedua, saya menerimanya bukan atas kapasiti peribadi saya, sebaliknya atas nama Universiti Al-Azhar Al-Sharif, barisan ulama, para alumni dan pelajarnya, ” katanya pada majlis konvokesyen khas berkenaan di ibu negara pada Khamis.

Penganugerahan kepada Sheikh Al-Azhar yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir itu disempurnakan Pro Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dalam Majlis Konvokesyen Khas yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan Wasatiyyah dalam kehidupan seharian dengan memetik gagasan Ta’dib Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menekankan keseimbangan antara mendalami ilmu pengetahuan dan ketinggian akal budi.

“Saya juga berasa bangga diundang untuk menziarahi Malaysia, sebuah contoh negara Islam yang berjaya membuktikan model keseimbangan manhaj Wasatiyyah dalam pembangunan dan ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan