JENAYAH & MAHKAMAH

SIASATAN GANGGUAN SEKSUAL TERHADAP WARTAWAN WANITA DI PERINGKAT AKHIR

05/07/2024 03:02 PM

NIBONG TEBAL, 5 Julai (Bernama) -- Siasatan kes seorang lelaki yang ditahan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap wartawan wanita ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berada di peringkat akhir.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes itu sebelum ia dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

“Sehingga hari ini kami telah rekodkan keterangan tiga individu untuk bantu siasatan polis. Lelaki berusia 30-an yang ditahan itu tamat reman hari ini dan kami sedang tunggu tindakan seterusnya sama ada dia akan disambung reman atau sebaliknya.

“Hari ini juga dijalankan kawad cam terhadap suspek oleh mangsa serta saksi-saksi. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu gangguan seksual dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya pada sidang media sempena PRK DUN Sungai Bakap di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.

Hamzah berkata polis turut merampas beberapa barangan peribadi lelaki itu termasuk pakaiannya semasa kejadian untuk siasatan lanjut.

Beliau sekali lagi memberi jaminan siasatan kes itu akan dijalankan secara terperinci dan telus serta polis juga sedang menjalankan siasatan peranan atau pekerjaan suspek ketika berada di lokasi kejadian.

Difahamkan dakwaan gangguan seksual berkenaan berlaku di Dewan Khairat Sungai Kecil pada Rabu malam (3 Julai), ketika wartawan wanita itu sedang membuat liputan program membabitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden Umno.

Insiden gangguan seksual itu didakwa telah dilihat beberapa pengamal media lain sebelum lelaki yang mengaku dia adalah petugas sebuah parti politik itu ditahan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan