EKONOMI

Tetingkap Tunggal Malaysia Mudahkan Perdagangan Malaysia Dan China - MITI

17/09/2024 06:56 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yakin sistem tetingkap tunggal Malaysia yang akan diharmonikan bersama kastam China akan memudahcara operasi perniagaan dan perdagangan.

Ia mengurangkan karenah birokrasi, menyelaras proses serta melancarkan proses perdagangan rentas sempadan Malaysia-China.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif Tetingkap Tunggal Nasional (NSW - National Single Window) mencerminkan komitmen kedua-dua kerajaan untuk memanfaatkan teknologi dari aspek perdagangan dua hala dalam era digital ketika ini.

“Kerajaan dan MITI juga akan mengutamakan perluasan capaian NSW untuk berintegrasi dengan Tetingkap Tunggal ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara MY E.G. Services Bhd dan Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) hari ini. 

Kerjasama itu adalah untuk penubuhan ZTrade sebagai Platform NSW.

ZTrade telah menggabungkan elemen terbaik yang diadaptasi daripada pelaksanaan tetingkap tunggal dari China, kata Tengku Zafrul.

“Perdagangan intra-ASEAN buat masa ini hanya berada pada tahap 23 hingga 25 peratus, ini bermakna ada banyak potensi untuk negara anggota ASEAN meningkatkan perdagangan antara satu sama lain. 

“Justeru, inisiatif Tetingkap Tunggal ASEAN juga dilihat bakal mengukuhkan kedudukan negara dalam Komuniti Ekonomi ASEAN serta membuka peluang yang lebih besar untuk perdagangan serantau dan integrasi ekonomi,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata MITI komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan Pentadbiran Am Kastam China untuk memastikan kejayaan pelaksanaan ‘satu tetingkap saling boleh kendali’ untuk memupuk lanskap perdagangan yang lebih cekap, telus, selamat dan berdaya tahan.

Pada 19 Jun lepas, Malaysia dan China telah bersetuju untuk melaksanakan satu lagi kitaran program lima tahun untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan, ditubuhkan buat pertama kali pada tahun 2013. 

Ia termasuk kerjasama dalam memastikan kejayaan pelaksanaan tetingkap tunggal saling boleh kendali. 

Mengulas lanjut mengenai ZTrade, Tengku Zafrul berkata syarikat berpeluang meraih manfaat daripada pengurangan kos, masa pelepasan lebih cepat dan komunikasi lebih baik dengan agensi kawal selia.

“Ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing di peringkat global tetapi juga memupuk persekitaran yang lebih kondusif untuk perniagaan berkembang maju berasaskan inovasi,” katanya. 

Kerjasama itu adalah bagi mempromosikan platform kepada perniagaan dan kementerian serta agensi kerajaan, menyediakan latihan dan sokongan kepada pengguna platform dan memperkenalkan serta memasarkan perkhidmatan secara bersama pada paltform ZTrade kepada ahli FMFF.

ZTrade ialah platform Web 3 yang menyediakan pengesahan dan pertukaran dokumen perdagangan digital untuk perdagangan barangan antara China dan rakan kongsi dagangan globalnya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan