DUNIA

China Iltizam Bersama Malaysia Gerakkan Pembinaan Komuniti Berkongsi Nasib

19/09/2024 03:15 PM

BEIJING, 19 Sept (Bernama-CMG) -- China komited untuk terus menggerakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Malaysia ke arah meraih pencapaian baharu.

Komitmen itu disuarakan jurucakap Kementerian Luar Lin Jian susulan Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke China dari 19 hingga 22 September atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Lin berkata ikatan persahabatan antara China dengan Malaysia dijalin sejak sekian lama dan kedua-dua negara merupakan jiran tetangga dan rakan kongsi yang sentiasa saling menyokong antara satu sama lain serta menikmati kerjasama saling menguntungkan.

"Pada Mac tahun lepas, Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai konsensus penting mengenai usaha sama membina komuniti berkongsi nasib China-Malaysia, sekali gus memperjelas hala tuju perkembangan hubungan bilateral pada era baharu.

"Tahun ini menandakan sambutan jubli emas bagi hubungan diplomatik China-Malaysia serta Tahun Persahabatan China-Malaysia. Lawatan Perdana Menteri Li Qiang ke Malaysia pada Jun berjaya menyuntik dorongan baharu kepada hubungan kedua-dua negara," kata Lin.

Beliau turut menzahirkan kesediaan China mengambil peluang daripada lawatan Yang di-Pertuan Agong untuk menyemarakkan persahabatan tradisional, memperdalam penyelarasan strategi pembangunan, memperluas kerjasama saling untung serta memperkayakan lagi konotasi perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia.

-- BERNAMA-CMG 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan