AM

Bank Muamalat Bantu Empat Usahawan Capai Impian Peroleh Sijil Halal JAKIM

18/09/2024 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Impian empat usahawan untuk memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akhirnya tercapai apabila dianugerahkan sijil berkenaan selepas berjaya menamatkan kursus Program Pensijilan Halal Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat). 

Usahawan berkenaan ialah pengusaha produk berasaskan buah roselle Siti Suraya Shariff, pengusaha produk berasaskan durian belanda Zai Suhana Mohd Tap, pengusaha rempah ratus Abdul Rahman Hassan dan pengusaha restoran Benedette Anthony.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Khairul Kamarudin berkata dua daripada mereka adalah usahawan asnaf di bawah skim usahawan ITEKAD Bank Muamalat manakala dua lagi pelanggan Bank Muamalat yang menyertai Program Pensijilan Halal Bank Muamalat dikendalikan oleh Serunai Commerce Sdn Bhd (Serunai).

Serunai ialah konsultan rasmi yang dilantik bagi program pensijilan itu untuk membantu mengembangkan perniagaan usahawan B40 sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing pada masa akan datang.

Khairul berkata langkah ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia peneraju pasaran halal global menjelang 2025 dengan nilai eksport sebanyak RM63.1 billion.

“Melalui usaha ini, Bank Muamalat ingin membantu usahawan tempatan menjadi penyumbang kepada nilai eksport tersebut sekali gus memudahkan produk mereka dipasarkan ke luar negara.

“Dengan sijil halal JAKIM, usahawan ini akan turut merancakkan lagi penawaran pekerjaan apabila mereka dapat menyediakan lebih banyak peluang baharu selari dengan pertumbuhan perniagaan mereka," katanya dalam majlis penyerahan sijil itu sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai institusi perbankan Islam penuh, pihaknya melihat sijil halal sebagai satu keperluan untuk memelihara pengguna dari segi kesahihan halal dan kebersihan makanan namun tidak ramai usahawan tahu cara dan prosedur permohonannya.

“Inilah nilai tambah yang kami berikan apabila mereka menyertai Program Pensijilan Halal Bank Muamalat dan kami menyasarkan 100 penyertaan usahawan dengan 30 peratus daripadanya mendapat sijil halal JAKIM menjelang 2026. 

“Selain sektor makanan dan minuman, kita akan turut meneroka sektor lain yang kita boleh bantu melalui program seperti ini," katanya.

Sementara itu, Siti Suraya, 41, berkata beliau bersyukur berpeluang mengikuti program itu kerana kini boleh memasarkan produk minuman dan kordial roselle yang diusahakannya di pasar raya utama seperti Aeon dan ST Rosyam Mart.

Penanaman roselle di bawah syarikatnya Sorrellicious Legacy di Klang, Selangor yang telah berkembang daripada 1.6 hektar kepada empat hektar sejak dimulakan pada 2019 membuatkan beliau berhasrat memperluaskan pasaran hingga ke Brunei, Thailand dan Singapura selain Dubai pada November ini.

Zai Suhana, 42, pula berkata beliau ditawarkan program berkenaan apabila mendapatkan pinjaman daripada bank Bank Muamalat untuk meluaskan perniagaannya yang terletak di Kampung Seri Aman, Puchong, Selangor, baru-baru ini.

“Selama setahun, mereka (Bank Muamalat) memberi bimbingan dari aspek kewangan, produk dan pemasaran. Apabila ada sijil halal ini, mudah untuk saya memperluaskan pasaran termasuk menyertai karnival halal kerana pengguna berasa lebih yakin dengan produk dihasilkan,” katanya. 

Usahawan yang berminat untuk menyertai Program Pensijilan Halal Bank Muamalat boleh layari laman sesawang di www.muamalat.com.my atau mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat. 

Mereka juga boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Bank Muamalat di 03-2600 5500 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan