JENAYAH & MAHKAMAH

Kastam Patahkan Penyeludupan Pelbagai Komoditi Bernilai Lebih RM1.76 Juta

20/09/2024 10:54 AM

SEPANG, 20 Sept (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTAKL) menumpaskan kegiatan penyeludupan pelbagai komoditi melibatkan sitaan bernilai lebih RM1.76 juta pada Ogos lepas.

Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Zulkifli Muhammad berkata pada 13 Ogos, anggota yang melakukan serbuan menemukan 84 Master Case memuatkan 500,800 batang rokok putih dan 63 Master Case mengandungi surat khabar lama dalam muatan empat palet dagangan.

“Hasil pemeriksaan rapi mendapati rokok putih berkenaan dibawa masuk ke dalam Kawasan Zon Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tanpa permit sah dan menggunakan perkhidmatan penghantaran melalui kargo serta diikrar sebagai ‘Clothes & Jeans’.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM50,080 dan membabitkan duti serta cukai sebanyak RM335,536 manakala siasatan awal mendapati kesemua rokok putih yang ingin diimport itu tidak mempunyai sebarang dokumen mengesahkan cukai telah dibayar semasa masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada 16 Ogos, pemeriksaan harian pada Cargo Terminal Operator (CTO) di dalam Free Commercial Zon (FCZ), KLIA mendapati wujud aktiviti penyeludupan rokok putih (eksport) dengan kuantiti 804,000 batang bernilai RM618,800 termasuk duti dan cukai, dipercayai untuk dieksport ke Australia berdasarkan alamat destinasi akhir pada dokumen manifest.

“Modus operandi sindiket ini dengan mengikrar dagangan dalam invois sebagai ‘Raincoat dan Cigarette’ serta menggunakan perkhidmatan penghantaran melalui kargo untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Bagi kes penyeludupan tembakau shisha pada 19 Ogos, beliau berkata anggota serbuan menemukan  3,000 kilogram tembakau shisha disyaki tidak berkastam kerana diimport masuk ke dalam Malaysia tanpa permit import sah.

Barang dagangan itu dipercayai untuk dipasarkan dalam negara dan kesemua barang dagangan dirampas untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM405,000 dan membabitkan duti serta cukai sebanyak RM313,863.75.

“Modus operandi sindiket ini dengan cara mengikrar dagangan sebagai ‘AF Molasses’ serta menggunakan perkhidmatan penghantaran kargo,” katanya.

Pada 13 Ogos dan 21 Ogos, sepasukan anggota LTAKL bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas dua premis perniagaan di Kuala Lumpur menerusi Ops Royal 2024.

Hasil pemerhatian dan pemeriksaan mendapati sebanyak 323.61 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam serta mempunyai Label Cukai (Tax Stamp) Kastam yang palsu dijumpai dalam kedua-dua premis perniagaan itu. 

Nilai rampasan dianggarkan RM7,300, melibatkan duti serta cukai sebanyak RM32,200 dan dua rakyat tempatan berusia lingkungan 40-an ditahan di premis berasingan. Kedua-dua yang ditahan itu juga ialah  pemilik premis berkenaan.

Kesemua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1957 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan