EKONOMI

Kadar Faedah AS, Pembaharuan Struktur Dan Prospek Ekonomi Malaysia Pacu Ringgit - BNM

20/09/2024 01:42 PM

Oleh Vijian Paramasivam

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah memberi impak besar terhadap ringgit Malaysia, terutama dari segi anjakan dinamik mata wang di serata rantau ini.

Langkah bank pusat AS menurunkan 50 mata asas pada Rabu lepas yang juga pertama dalam tempoh empat tahun, akan menyaksikan pelonggaran dasar monetari yang ketat selain menyuntik keyakinan terhadap mata wang yang susut, kata penganalisis.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata selain penurunan kadar faedah AS, aspek lain seperti prospek ekonomi Malaysia yang positif dan pembaharuan struktur turut melonjakkan ringgit.

Pemulihan ringgit baru-baru ini, turut didorong oleh anjakan peningkatan terhadap kadar faedah rendah di negara-negara utama khususnya AS selain prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh.

“Prospek ekonomi Malaysia yang positif serta pembaharuan struktur, diperkukuh lagi dengan inisiatif untuk menggalakkan aliran masuk dana, akan terus memberi sokongan terhadap ringgit.

“Keputusan OPR (kadar dasar semalaman) oleh Jawatankuasa Dasar Monetari BNM akan terus berpandukan perkembangan yang menjejaskan risiko pertumbuhan domestik serta inflasi pada masa hadapan," katanya dalam jawapan menerusi emel kepada Bernama.

Pada hari ini, nilai ringgit mencecah 4.20 berbanding dolar AS.

Dalam pada itu, CIMB menerusi laporan penyelidikan Daily Digest pada Khamis berkata mata wang serantau mengukuh berbanding dolar AS yang menyaksikan ringgit (+0.4 peratus) terus mendahului dan diikuti oleh dolar Singapura (+0.1 peratus) dan bhat Thailand (+0.1 peratus).

Selain itu, RHB pula menyifatkan kadar faedah global yang lebih rendah secara amnya adalah positif untuk ekonomi ASEAN.

“BNM dan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) mungkin berpendirian sebaliknya berbanding banyak pihak yang bertindak menurunkan kadar faedah dan kami menjangkakan OPR BNM kekal pada 3.0 peratus untuk 2024.

“MAS juga dijangka mengekalkan parameter dasar yang tidak berubah sepanjang tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan pada Khamis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan