AM

Lawatan Kementerian, Syarikat, Agensi Kerajaan Ke Luar Negara Perlu Kelulusan Menteri - PM Anwar

20/09/2024 05:32 PM

PUCHONG, 20 Sept (Bernama) -- Semua projek, lawatan dan tugasan ke luar negara yang melibatkan kementerian, syarikat serta agensi kerajaan perlu dirujuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan masing-masing, serta mendapatkan kelulusan Menteri berkenaan. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan untuk mendapatkan kelulusan menteri dilakukan kerana terdapat lembaga di dalam syarikat mahupun agensi kerajaan yang dilihat membuat keputusan memihak kepada kepentingan sendiri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau sendiri telah membatalkan satu permohonan melibatkan kementerian dan agensi kerajaan yang menurutnya telah mendaftar sehingga 68 kakitangan hanya untuk menghadiri satu pameran kecil di Berlin, Jerman.

“Walaupun tiket hotel dan penerbangan telah disediakan, saya batalkan, kerana jumlah yang didaftakan terlalu ramai. Hanya sebahagian kecil mungkin diperlukan untuk tugasan tersebut. Ini adalah pelanggaran peraturan. Ini dana rakyat dan kita harus tanggungjawab.

“Saya semalam telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausana Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar), Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz), semua Ketua Setiausaha dan Ketua Jabatan untuk menegaskan pendirian kerajaan dan minta kerjasama mereka dalam hal ini,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam di sini, hari ini. 

Menjelas lanjut Perdana Menteri berkata semua menteri bertanggungjawab terhadap sebarang kelulusan yang diberikan.

“Menteri yang ingin melawat mana-mana negara perlu mengemukakan kertas cadangan kepada Jemaah Menteri, dan biasanya kita akan menilai semula sama ada perlu membawa kakitangan tertentu atau tiada keperluan sama sekali," katanya.

“Atau lebih baik tangguhkan sahaja lawatan tersebut dan sekalikan dengan lawatan Perdana Menteri, di mana, MoU (Memorandum Persefahaman) boleh turut ditandatangani dalam majlis yang sama. Ini akan jimat belanja,” katanya.

Perdana Menteri berkata reformasi di dalam kerajaan perlu dilakukan secara berterusan dan sebarang pelanggaran kepada usaha tersebut, tidak boleh dibiarkan berlaku.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan