EKONOMI

Eksport Lada Malaysia Bernilai RM86.4 Juta Sehingga Julai Tahun Ini - Chan

20/09/2024 09:31 PM

JOHOR BAHRU, 20 Sept (Bernama) -- Eksport lada Malaysia meningkat kepada RM86.4 juta bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini berbanding RM80.2 juta bagi tempoh sama tahun lepas, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata 50 peratus daripadanya dieksport ke Jepun.

“Jepun adalah pasaran tradisional kita memandangkan lada kita mempunyai kepedasan berlainan daripada lada negara lain.

“Selain Jepun, negara utama lain yang menjadi penyumbang eksport adalah China, Korea Selatan dan Sweden,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kempen Penggunaan Lada Malaysia 2024 di sini hari ini.

Chan berkata nilai perdagangan lada Malaysia ke Singapura pula menunjukkan prestasi memberangsangkan iaitu RM8.20 juta atau 368.15 tan bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini berbanding RM5.86 juta atau 288.44 tan pada 2023.

Menurutnya Singapura turut menjadi rakan dagang penting bagi sektor lada negara dan berpotensi besar untuk dikembangkan berdasarkan faktor hubungan perdagangan, geografi dan hubungan ekonomi.

Sementara itu, katanya tanaman lada di seluruh negara meningkat daripada 8,172 hektar tahun lepas kepada 8,215 hektar tahun ini.

“Jumlah pekebun turut meningkat kepada 39,137 daripada 38,986 tahun sebelumnya yang menunjukkan industri lada terus berkembang pesat melalui usaha berterusan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Lembaga Lada Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan