JENAYAH & MAHKAMAH

Laporan Penuh Isu GISBH Akan Dibentangkan JAIS Minggu Hadapan

21/09/2024 07:04 PM

SHAH ALAM, 21 Sept (Bernama) -- Laporan penuh berhubung isu GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan dibentangkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri Dr Mohammad Fahmi Ngah minggu hadapan.

Mohammad Fahmi berkata laporan itu akan memperincikan tindakan yang telah dan akan diambil selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya juga akan diberi taklimat tentang langkah semasa JAIS bagi mengekang serta mengambil tindakan undang-undang berkenaan, termasuklah perkara berkaitan sekolah agama dan tahfiz di bawah GISBH di Selangor. 

“Saya juga akan mendengar taklimat tentang profil 30 rumah amal di bawah GISBH di Selangor yang dilaporkan oleh JAIS kepada saya sebelum ini, termasuklah tentang dakwaan berlakunya pelantikan ahli jawatankuasa masjid dari kalangan ahli GISBH di sebuah masjid di Rawang serta isu berkenaan surau Al-Ikhwan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pasukan khas yang diketuai Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad ketika ini sedang berusaha untuk mengukuhkan beberapa keperluan kes melibatkan pimpinan atasan dan beberapa kegiatan individu lain mengikut Seksyen 7,8,10,12,13 serta 106 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.  

Dalam pada itu, beliau turut menjunjung titah keprihatinan Sultan Selangor mengenai tindakan yang wajar dan sedang diambil oleh pihak berkuasa negeri dan Persekutuan dalam isu GISBH mutakhir ini terutama melibatkan kebajikan kanak-kanak, wanita dan isu berkaitan agama Islam.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi meminta umat Islam di Selangor untuk terus tampil membuat aduan kepada JAIS bagi membantu memberikan maklumat berhubung isu tersebut.

Terdahulu, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya.

Sehubungan itu, baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam di bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarah ditutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelak kanak-kanak yang terlibat daripada terus dianiaya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan