PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS DIDAGANGKAN KUKUH MINGGU DEPAN

14/09/2024 10:15 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) dijangka didagangkan kukuh pada minggu depan, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) pada 17 hingga 18 Sept ini. 

Pengarah Urusan Pengurusan Aset SPI Stephen Innes berkata emas melonjak pada hari Jumaat, selepas didorong oleh harapan untuk penurunan kadar yang lebih besar daripada jangkaan, dengan pasaran menetapkan harga dalam kitaran pelonggaran Fed yang agresif.

“Memandangkan kita menghampiri keputusan Fed, pengukuhan adalah dijangka. 

“Persoalan sebenar bukanlah sama ada pemotongan akan berlaku tetapi adakah ia akan mencecah 50 mata asas (bps). Bagaimanapun, walaupun pengurangan dibuat hanya 25 mata asas, meleset daripada jangkaan yang lebih berhati-hati, emas sewajarnya kekal disokong pada penurunan,” katanya kepada Bernama.

Di samping itu, beliau berkata ini kerana pasaran akan menunggu kemungkinan pemotongan 50 mata asas menjelang November akan datang.

“Ringkasnya, arah aliran kenaikan harga emas kelihatan kukuh, dengan sebarang penurunan semula mungkin dilihat sebagai peluang belian.

 “Bagi minggu depan, emas akan berada pada jajaran yang lebih meluas, khususnya jika Fed memberikan potongan sebanyak 50 mata asas. Dalam kes ini, emas boleh didagangkan setinggi US$2,600, dengan jangkaan ianya akan berlegar antara US$2,550 hingga US$2,600,” tambahnya lagi.

Dari Jumaat ke Jumaat, bulan semerta September 2024 meningkat kepada US$2,575.00 setiap auns troy berbanding US$2,539.00 setiap auns troy sebelum ini.

Sementara itu, Oktober 2024, November 2024, Disember 2024, Februari 2025 dan April 2025 semuanya ditutup lebih tinggi pada US$2,587.30 daripada US$2,539.00 setiap auns troy.

Jumlah dagangan menokok kepada 85 lot berbanding 56 lot yang dicatatkan semasa minggu lepas, manakala kepentingan terbuka melebar kepada 74 kontrak daripada 49 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada US$2,545.95 setiap auns troy, berdasarkan penetapan petang London Bullion Market Association pada 12 Sept. .

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan