PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN EMAS DIJANGKA KEKAL DISOKONG MINGGU DEPAN

21/09/2024 10:27 AM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal disokong minggu depan, didorong oleh kitaran pemotongan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), peningkatan risiko geopolitik dan pilihan raya AS yang akan datang, kata seorang penganalisis. 

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harga emas telah mengalami kenaikan yang ketara, memacu logam itu ke arah paras tertinggi.

“Ketika bank-bank pusat pasaran sedang pesat membangun terus menjauhi dolar US dan cabaran ekonomi China telah meningkatkan permintaan tempatan di Asia, emas berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan prestasinya,” katanya kepada Bernama.

Dari Jumaat ke Jumaat, bulan semerta September 2024 naik kepada US$2,614.20 setiap auns troy berbanding US$2,575.00 setiap auns troy yang disaksikan pada minggu lepas.

Sementara itu, Oktober 2024, November 2024, Disember 2024, Februari 2025 serta April 2025 semuanya lebih tinggi pada US$2,627.00 daripada US$2,587.30 setiap auns troy sebelum ini.

Jumlah dagangan susut kepada 82 lot berbanding 85 yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka mengecil kepada 44 kontrak daripada 74 kontrak.

Harga emas fizikal berada pada US$2,575.35 setiap auns troy, menurut penetapan petang London Bullion Market Association pada 19 Sept.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan