PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DIJANGKA LEBIH TINGGI MINGGU DEPAN SUSULAN PRESTASI EKSPORT YANG KUKUH

21/09/2024 10:29 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Prestasi eksport yang kukuh dijangka menyuntik kenaikan dalam niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives minggu depan, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran yang positif juga akan dipengaruhi oleh pertumbuhan pengeluaran yang lebih rendah.

“Pada minggu depan, kami menjangkakan harga diniagakan antara RM3,820 setan dan RM4,080 setan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata niaga hadapan MSM akan didagangkan lebih rendah berikutan pengambilan untung pada minggu depan, dalam julat RM3,700-RM3,800 setan.

“Prestasi ringgit yang lebih kukuh mempengaruhi sentimen pasaran minggu ini. Permintaan fizikal adalah dari China, India, Pakistan, Timur Tengah, Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat dengan stok masih banyak di Indonesia,” katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak bulan semerta Oktober 2024 melonjak RM118 kepada RM4,027 setan, November 2024 meningkat RM160 kepada RM3,974 setan, manakala Disember 2024 menokok RM172 kepada RM3,947 setan.

Kontrak Januari 2025 naik RM171 kepada RM3,925 setan, Februari 2025 bertambah RM164 kepada RM3,907 setan, manakala kontrak Mac 2025 berada pada RM3,885 setan.

Kontrak September 2024 ditutup pada RM3,930 setan.

Jumlah dagangan mingguan menurun kepada 368,026 lot daripada 422,487 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 254,752 kontrak daripada 259,519 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan naik RM60 kepada RM4,070 setan pada Jumaat daripada RM4,010 setan minggu lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan