SUKAN > BERITA

JEFFER HARAP SKUAD REMAJA LANGKAH JAUH DI YOGJAKARTA

19/06/2024 05:40 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Skuad negara dijangka melangkah lebih jauh bagi kedua-dua acara berpasukan campuran dan acara individu pada Kejohanan Badminton Remaja Asia 2024 di Yogjakarta, Indonesia dari 28 Jun hingga 7 Julai ini. 

Ketua Jurulatih Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM) Jeffer Rosobin berkata harapan itu hadir berdasarkan prestasi yang dipamerkan beberapa pemain seperti beregu lelaki nombor 83 dunia Kang Khai Xing-Aaron Tai dan pemain perseorangan wanita di kedudukan ke-190 dunia Siti Zulaikha Muhammad Azmi.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kazakhstan dan Macau bagi acara berpasukan semalam dijangka menghadapi cabaran sebenar pada suku akhir dengan hanya dua pasukan teratas kumpulan mara ke pusingan kalah mati. 

“Undian yang baik, kita tetap akan fokus untuk pamer aksi terbaik kerana peluang cukup besar untuk acara ini. Kita dah mula pelan dari awal, ada peluang untuk raih mata menerusi Khai Xing-Aaron dan Siti, namun perlukan strategi mengikut lawan dan ambil satu lawan pada satu masa,” katanya ketika ditemui di ABM di sini hari ini. 

Jurulatih berasal dari Indonesia itu turut melihat peluang baik Khai Xing-Aaron dalam acara beregu lelaki selepas gandingan itu muncul juara Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda dan Cabaran Antarabangsa Thailand selain melangkah ke final Kejohanan Remaja Antarabangsa Jerman pada tahun ini. 

Siti Zulaikha juga turut mempamerkan prestasi meyakinkan musim ini apabila muncul naib juara Siri Antarabangsa Sri Lanka, serta mara ke separuh akhir Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda, Terbuka Austria (Austrian Open) dan Cabaran Antarabangsa Bonn (Bonn International) di Jerman.

Pada edisi tahun lepas, yang juga diadakan di Yogjakarta, Malaysia pulang dengan tangan kosong tanpa sebarang pingat selepas tewas 0-3 pada suku akhir acara berpasukan, manakala tiada satu pun wakil bagi acara individu mara ke separuh akhir.

Ia menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menamatkan khidmat Datuk Misbun Sidek selaku Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja pada Ogos tahun lepas, menyebabkan legenda badminton negara itu menyatakan kekecewaan kerana tiada perbincangan dilakukan secara bersama mengenai perkara itu.

BAM kemudian memohon maaf dan menawarkan Misbun kembali mengendalikan skuad perseorangan remaja sehingga kontraknya tamat hujung tahun lepas, namun Misbun yang menerima permohonan maaf itu menolak tawaran untuk kembali ke BAM. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan