SUKAN > BERITA

AUG 2024: MALAYSIA SASAR 35 EMAS

20/06/2024 01:59 PM

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama) -- Kontinjen Malaysia menyasarkan 35 pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 yang akan berlangsung mulai 25 Jun hingga 6 Julai ini di Surabaya dan Malang, Indonesia.

Sasaran itu diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang mengharapkan atlet negara mampu mempamerkan aksi mantap untuk mengungguli acara yang disertai mereka. 

“Saya difahamkan 35 pingat (emas) menjadi sasaran kontinjen Malaysia. Tapi saya percaya mungkin (dapat) lebih dari itu.

“Apa yang paling mustahak adalah mereka (atlet-atlet) perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana tiada yang mustahil kerana dalam sukan yang menggerakkan (atlet) untuk capai pencapaian adalah semangat juang,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Kontinjen Malaysia ke AUG Suhairi Ismail di sini hari ini.

Kontinjen Malaysia akan diperkuatkan dengan 382 atlet dan pegawai bagi menggalas cabaran negara dalam 18 daripada 20 acara dipertandingkan dengan pelari 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman diumumkan sebagai pembawa Jalur Gemilang di temasya dwitahunan berkenaan.

Untuk rekod, kontinjen negara meraih 49 pingat emas, 83 perak dan 52 gangsa dalam temasya AUG di Ubon Ratchathani, Thailand pada 2022.

Dalam pada itu, Zambry turut mengumumkan kenaikan insentif baharu kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas iaitu sebanyak RM3,000, pemenang perak meraih RM2,000 manakala pemenang gangsa akan menerima RM1,500.

Sementara itu, Umar memasang misi serampang dua mata pada penampilan sulungnya di temasya tersebut iaitu meraih emas dan memecahkan rekod kebangsaan miliknya 46.09 saat dalam acara 400m yang dilakukan di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China pada Ogos tahun lepas.

“Bagi saya kejohanan AUG ini kalau boleh nak menang pingat emas. Kalau ada rezeki nak pecah rekod kebangsaan tetapi berdasarkan keadaan saya. 

“Selepas Terbuka Malaysia saya rasa lebih bertenaga dan bebas daripada kecederaan. Jadi ada baki beberapa minggu lagi (sebelum AUG) saya harap bebas daripada sebarang kecederaan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan