SUKAN > BERITA

WOOI YIK MAHU MEMAKSIMUMKAN PENGGUNAAN TEMPOH SEBULAN MENJELANG OLIMPIK

20/06/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Pemain beregu lelaki utama negara Soh Wooi Yik mahu menggunakan tempoh lebih sebulan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 semaksimum mungkin dalam misi mencabar pingat emas. 

Pemain berusia 26 tahun yang muncul juara dunia 2022 bersama Aaron Chia membuat keputusan untuk terus berada di asrama Akademi Badminton Malaysia (ABM) sehingga berlepas ke Aire Sur La Lys, Perancis untuk kem latihan 10 hari bermula 10 Julai ini. 

Selain itu, Wooi Yik dan Aaron bersama-sama pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) - gandingan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei - turut meminta untuk latihan tambahan pada waktu malam bagi memantapkan persediaan menjelang temasya Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini. 

“Saya mahu tinggal di ABM kerana mahu fokus sepenuhnya dan mantapkan persiapan tanpa sebarang gangguan lain. Saya boleh buat hal sendiri di sini seperti analisa permainan dan mudah (untuk akses fasiliti) di sini. 

“Dalam masa singkat ini, saya fokus meningkatkan permainan sendiri dan meningkatkan keupayaan fizikal serta mempunyai sesi latihan malam. Jadi saya pun mahu berehat selepas latihan tambahan itu dan tidak mahu pergi ke mana-mana,” katanya ketika ditemui pemberita di ABM, Bukit Kiara di sini. 

Wooi Yik berkongsi bahawa kem motivasi bersama pakar psikologi BAM Frederick Tan di Pulau Pinang pada hujung minggu membantu mereka untuk meningkatkan motivasi dan semangat menjelang Paris 2024, serta mengajar mereka bagaimana untuk menghadapi sesuatu situasi ketika temasya terbesar dunia itu. 

Sementara itu, Aaron menjelaskan latihan sebelah malam selama dua atau tiga kali seminggu, tambahan bagi latihan pagi dan petang, lebih fokus kepada memperbaiki skil dan teknik. 

“Kita tak banyak masa sekarang, jadi sesi tambahan dalam dua jam ini kita gunakan untuk buat pembetulan kita punya skil,” katanya yang bakal membuat penampilan kedua di Olimpik selepas meraih gangsa di Tokyo 2020.

Beliau berkata walaupun kali kedua ke Olimpik, perasaan ke Tokyo berbeza susulan pandemik COVID-19 yang menyebabkan persiapan dalam situasi yang berbeza. 

Aaron percaya bahawa, bagaimana mereka menghadapi tekanan lebih penting berbanding pengalaman. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan