SUKAN > BERITA

PERANAN SEBAGAI PEMBAWA BENDERA DORONG BERTRAND UNTUK CAPAI ENAM TERBAIK

02/07/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan Sukan Olimpik 2024 memberi inspirasi kepada penerjun negara Bertrand Rhodict Lises untuk menampilkan aksi cemerlang di Paris.

Walaupun Bertrand bakal membuat penampilan sulungnya pada temasya sukan terbesar itu, atlet berusia 19 tahun tersebut tekad untuk meraih kedudukan sebaik mungkin dalam acara itu di Pusat Akuatik di Saint Denis.

"Menyasarkan untuk mara ke akhir, memang matlamat saya selama ini, namun sekiranya semua berjalan lancar, saya berharap untuk menamatkan pertandingan pada kedudukan enam terbaik," katanya pada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pemuda kelahiran Sarawak itu, yang kini menjalani latihan di Australia, berkata berita dirinya menjadi pemegang bendera pada upacara pembukaan itu bukanlah satu kejutan.

Bertrand mengakui beliau berasakan dirinya berkemungkinan menjadi sorotan dan mengetuai kontinjen negara pada perarakan atlet di Paris.

"Sebenarnya boleh djangka, kerana acara terjun antara yang terawal mulakan saingan di Paris," katanya.

Sukan Olimpik 2024 akan berlangsung dari 26 Julai-11 Ogos. Terjun akan bemula pada 27 Julai-10 Ogos.

Semalam, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan Bertrand dan atlet pelayaran Nur Shazrin Mohamad Latif sebagai pembawa panji-panji negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan berkata kedua-dua atlet berkenaan mewakili anggota kontinjen Malaysia yang terdiri daripada mereka yang kali pertama ke Olimpik serta atlet yang telah beberapa kali layak ke temasya itu.

"Bertrand dipilih kerana kali pertama melayakkan diri ke temasya itu manakala Nur Shazrin pula ialah seorang atlet berpengalaman yang akan membuat penampilan ketiganya. Dalam meraikan masa depan, kita menghargai masa kini," kata Mohamad Norza.

Bertrand menjadi anak Sarawak keempat diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang di pentas Olimpik, selepas atlet olahraga Kuda Ditta (Rome 1960), penerjun Bryan nickson Lomas (Athens 2004) dan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong di London pada edisi 2012.

Nur Shazrin merupakan pelayar pertama diberi penghormatan membawa bendera Malaysia pada upacara pembukaan Olimpik.

Majlis pembukaan Sukan Olimpik 2024 dijadualkan berlangsung di Sungai Seine dan atlet akan menaiki bot menyusuri sungai tersebut.

Perarakan menaiki bot sejauh enam kilometer itu akan berakhir di Trocadéro di mana protokol Olimpik dan pertunjukan seterusnya akan diadakan.

Dalam pada itu, Bertrand berkata latihannya di Australia berjalan lancar setakat ini dan beliau bersyukur diberi peluang untuk berlatih dengan para penerjun negara itu yang ramah.

Pemenang gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu berkata beliau tidak sabar untuk mengikuti persiapan terakhir di United Kingdom bermula 9 Julai ini sebelum beraksi di Paris 2024.

Bertrand merupakan atlet negara pertama menempah slot secara merit ke Paris selepas menduduki tempat ke-10 acara 10 meter platform pada Kejohanan Dunia di Fukuoka, Jepun tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan