SUKAN > BERITA

PARIS: KBS SALUR DANA RM300,000 UNTUK ATLET PROFESIONAL TERMASUK ZII JIA

04/07/2024 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Empat atlet profesional negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 telah diberikan geran bantuan berjumlah RM300,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Geran itu disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) kepada pemain badminton perseorangan Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei serta pemain golf Gavin Green dan Ashley Lau. 

MSN menerusi kenyataan berkata bantuan itu merupakan inisiatif untuk meringankan beban mereka bagi menyertai beberapa kejohanan kelayakan, kejohanan pendedahan dan kem latihan selain mendapatkan rakan pelatih dan perkhidmatan sokongan demi memastikan persiapan serta latihan dalam keadaan optimum.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap bantuan tambahan itu sedikit sebanyak membantu mereka memberi tumpuan kepada persiapan masing-masing dan memberikan persembahan terbaik di kota Paris nanti. 

“Ini adalah komitmen kami untuk membantu setiap atlet yang membawa bendera Malaysia, bahawa mereka bukan sahaja akan menerima perkhidmatan daripada pasukan ISN (Institut Sukan Negara), tetapi juga bantuan kewangan daripada kerajaan. Kami mahu para atlet tahu mereka pergi dengan sokongan penuh kerajaan dan seluruh negara,” katanya dalam kenyataan sama.

Acara badminton akan berlangsung di Porte de La Chapelle Arena bermula 27 Julai hingga 5 Ogos, manakala golf diadakan di Le Golf National dari 1 hingga 10 Ogos.

Sebanyak 26 atlet bakal mewakili Malaysia di Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan