SUKAN > BERITA

MINI ESPORTSCON DI PARLIMEN: PENGIKTIRAFAN INDUSTRI E-SUKAN MALAYSIA

04/07/2024 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Penganjuran Mini EsportsCon buat julung kalinya telah menghimpunkan pemegang taruh sukan elektronik (e-sukan) dalam kalangan penerbit permainan terkemuka tempatan dan antarabangsa di bangunan utama Parlimen Malaysia di sini hari ini.

Menurut kenyataan Esports Integrated (ESI), acara itu dianjurkan bagi meraikan industri e-sukan yang dinamik dan pesat berkembang di Malaysia.

Di samping itu, ia juga menyediakan ruang libat urus antara pemain industri e-sukan dan warga Parlimen khususnya Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai penggubal undang-undang negara.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang hadir dan warga Parlimen yang turut serta memberikan sokongan untuk acara Mini EsportsCon di Parlimen.

“Acara ini menandakan pencapaian penting dalam mengiktiraf potensi e-sukan sebagai industri yang dinamik dan berpengaruh. Kami berharap inisiatif ini diterima dengan baik dan mampu memberikan gambaran lebih jelas kepada pembuat dasar berkenaan landskap e-sukan yang semakin berkembang,” kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim dalam kenyataan itu.

Mini EsportsCon anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui ESI itu turut dijayakan secara bersama oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Moonton, Tencent, Raceroom Asia, Gamesbond, Ammobox Studios, Kaigan Games dan Todak Studios. 

Antara aktiviti yang berlangsung termasuklah sesi pengenalan kepada e-sukan dan sesi demonstrasi permainan yang menawarkan pengalaman secara terus dengan pelbagai judul permainan.

Mini EsportsCon juga menampilkan pembentangan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG) yang dibangunkan untuk menyokong pelaksanaan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik Kebangsaan 2020-2025.

“MESF turut mengetengahkan Esports MedicA, sebuah inisiatif yang diwujudkan untuk memberikan pendidikan dan khidmat nasihat berkaitan kesihatan kepada penggiat industri, khusus para pemain,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan