SUKAN > BERITA

PROGRAM LATIHAN BERTERUSAN MAMPU TINGKAT KEUPAYAAN SKUAD RAGBI BUNGA RAYA 15'S

22/06/2024 10:32 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Pasukan ragbi 15 sebelah (15’s) kebangsaan mempamerkan  kemajuan dalam masa yang singkat walaupun gagal meraih sebarang kemenangan dalam kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024.

Jurulatih negara Mohd Farid Syazwan berkata program latihan yang berterusan dapat membantu meningkatkan lagi keupayaan pasukan menjelang kejohanan pada masa depan.

“Secara keseluruhan kita nampak kemajuan pasukan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan  daripada lawan Korea Selatan sampai UAE (Emiriah Arab Bersatu) kita nampak kemajuan pasukan walaupun dalam masa yang singkat.

“Jadi sekiranya kita ada peluang mengadakan program latihan yang berterusan, saya kira ia mampu untuk meningkatkan keupayaan pasukan,” katanya dalam perkongsian Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) hari ini.

Semalam, pasukan negara mengakhiri kempen kejohanan ARC 2024 dengan kekalahan 19-62 kepada pasukan tuan rumah UAE di Stadium The Sevens di Dubai.

Skuad Bunga Raya 15’s sebelum itu tumpas 5-55 ketika berkunjung ke Korea Selatan sebelum tewas 6-70 ketika melayani kunjungan Hong Kong, masing-masing awal bulan ini.

Sementara itu, Mohd Farid menyifatkan pertembungan dengan UAE semalam sebagai perlawanan  mencabar buat anak buahnya yang beraksi dalam cuaca panas melampau.

“Saya rasa satu game yang amat mencabar sebab kita bermain ketika cuaca amat panas dan banyak pemain cramp...bagaimanapun saya puji dan bangga dengan usaha diberikan pemain yang menyahut cabaran beraksi dalam keadaan cuaca amat panas,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan