SUKAN > BERITA

BERIKAN SKUAD BUNGA RAYA 15'S TEMPOH ENAM BULAN - DUGRO

25/06/2024 03:14 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Bekas pemain ragbi profesional negara K. Dinesvaran merasakan program latihan berpusat sekurang-kurangnya selama enam bulan sebelum menyertai kejohanan besar mampu menyelesaikan masalah prestasi skuad ragbi 15 sebelah (15’s) kebangsaan.

Dinesvaran atau lebih dikenali sebagau Durgo berkata tempoh itu sudah memadai untuk mempersiapkan pasukan bagi menyaingi kehebatan jaguh serantau.

“Saya sudah lama fikir benda ini, saya rasa kita perlukan latihan pusat (selama) enam bulan, bukan enam bulan secara berterusan. Pertama bermula Januari pemain dikumpulkan, sesi pengenalan, kemudian program seterusnya. Dari situ kita sudah bina pasukan selama enam bulan.

“Pemain pun sudah serasi, jadi enam bulan adalah program terbaik untuk pemain. Jika kita laksanakannya kita boleh kekalkan standard yang tinggi dalam liga premier (divisyen),” katanya ketika ditemui pada sidang media Majlis Pelancaran Akademi Ragbi Royal Selangor Club (RSC) di sini hari ini.

Jumaat lepas, pasukan negara mengakhiri kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 dengan kekalahan 19-62 kepada pasukan tuan rumah Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium The Sevens di Dubai.

Skuad Bunga Raya 15’s sebelum itu tumpas 5-55 ketika berkunjung ke Korea Selatan sebelum tewas 6-70 ketika melayani kunjungan Hong Kong, masing-masing awal bulan ini.

Bekas pemain kelab Jepun Yamah Jubilo dan Hino Red Dolphins itu berkata tugas jurulatih menjadi  sukar jika perlu mempersiapkan pasukan dalam tempoh yang singkat dan pada masa sama boleh menyebabkan risiko kepada pemain.

“Kalau kita bawa jurulatih dari All Blacks dan bagi dia latih enam minggu, tak boleh pergi jauh. Dia pun tak boleh buat  silap mata... dia pun nak keadaan pemain betul-betul bersedia.

“Kalau enam minggu latihan teruk sekali pun, pemain akan cedera. Kalau tak teruk, pemain tak bersedia...susah enam minggu, sekurang-kurangnya enam bulan,” kata pemain yang pernah beraksi di Amerika Syarikat bersama kelab Chicago Hounds.

Dugro yang juga Pengarah Program Akademi Ragbi RSC berkata harapannya adalah untuk berkongsi segala ilmu dan pengalaman bersama pemain di peringkat akar umbi bagi melahirkan sebanyak mungkin pemain yang boleh mengharumkan nama negara.

“Saya fikir dengan hanya beraksi di luar negara tidak cukup untuk menyumbang kepada negara. Jadi saya terfikir untuk berkongsi bersama pemain muda bagi menaikkan lagi standard ragbi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan