SUKAN > BERITA

SRAM PUJI PENCAPAIAN SKUAD REMAJA DI PAKISTAN

30/06/2024 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) gembira dengan pencapaian membanggakan skuad negara di kejohanan skuasy Remaja Asia ke-31 di Islamabad, Pakistan meskipun koleksi pingat emas berkurangan berbanding pada edisi sebelumnya.

Pengarah Kejurulatihan SRAM Mej (B) S. Maniam berkata pencapaian di kejohanan yang berakhir semalam itu patut diberi perhatian memandangkan peningkatan daya saing daripada pasukan bertanding terutama daripada rumah, India, Hong Kong dan Jepun.

“Saingan bukan semakin mudah, ia semakin mencabar. Pasukan-pasukan Asia bermain dengan baik.

“Saya gembira kerana secara keseluruhannya kita telah lakukan lebih baik. Paling penting semua pemain di bawah program kita berjaya meraih podium, pada saya itu adalah pencapaian hebat mereka,” katanya kepada Bernama.

Maniam berkata pencapaian di Pakistan menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai masa depan cerah dalam sukan skuasy untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Semalam, Malaysia menamatkan kempen kejohanan remaja Asia itu dengan muncul pasukan terbaik keselruhan dengan mengumpul tiga pingat emas, dua perak dan sembilan gangsa.

Mereka yang menyerlah ialah U. Thanussa yang beraksi dalam kategori bawah 19 tahun perempuan, Nickhileswar (B-17 lelaki) dan Harleein Tan (B-15 perempuan) selepas meraih kejuaraan dalam kategori masing-masing.

Dua lagi pemain Harith Danial Jefri (B-19 lelaki) dan Raziq Putra Fakhrur Razi (B-15 lelaki) masing-masing meraih pingat perak.

Pada edisi sebelum ini di Dalian, China, pasukan negara membawa pulang lima emas dan tiga perak.

Sementara itu, Maniam berharap pasukan remaja akan meneruskan momentum cemerlang ini ke Kejohanan Skuas Remaja Dunia 2024 yang berlangsung di Houston, Amerika Syarikat pada 12 hingga 23 Julai.

“Kejohanan ini akan menjadi sukar. Jika kita boleh meraih kedudukan lapan terbaik acara berpasukan dan individu, itu sangat bagus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan