SUKAN > BERITA

LTDL 2024: POOLE GANTI VAN DEN BROEK, PERKUATKAN DSM FIRMENICH

14/09/2024 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Pasukan berstatus World Team, DSM Firmenich mengumumkan pelumba sedang meningkat Max Poole akan menggantikan Frank Van Den Broek pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 berlangsung 29 Sept hingga 6 Okt ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) dalam kenyataan memaklumkan Van Den Broek terpaksa melupakan penyertaannya di LTdL kali ini kerana mewakili Belanda di Kejohanan Dunia UCI di Zurich, Switzerland pada 21 hingga 29 Sept.

Poole, 21, yang membuat penampilan pertamanya pada LTdL 2024 merupakan pakar pendakian terkenal dengan gaya perlumbaan agresif.

"Nama beliau menjadi sebutan dengan pencapaian empat penamat podium dalam perlumbaan jelajah utama termasuk  Vuelta a España, dan muncul naib juara keseluruhan di Vuelta a Burgos, Sepanyol. Pada masa ini menduduki tempat ke-111 dunia, dan berasal dari Scunthorpe, England.

"Selain Poole, DSM Firmenich turut membariskan Alex Edmondson (Australia), Niklas Märkl (Jerman), Casper Van Uden (Belanda), Bjoern Koerdt (Great Britain), and Johan Dorussen (Belanda),” menurut kenyataan itu.

DSM Firmenich bersedia memberikan saingan sengit dalam kalangan 22 pasukan pada LTdL 2024 bersaing untuk merebut kemenangan peringkat dan keseluruhan.

LTdL 2024 edisi ke-28 membabitkan lapan peringkat dengan Langkawi sekali lagi disenaraikan dalam laluan perlumbaan selain dua peringkat di Miri dan Bintulu, Sarawak.

Perlumbaan peringkat pertama bermula di Langkawi diikuti peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (peringkat tiga), Kuala Kubu Baru ke Bentong (peringkat empat), Kuala Lumpur ke Melaka (peringkat lima), Batu Pahat ke Kulai (peringkat enam), Miri ke Bintulu (peringkat tujuh) dan Bintulu (peringkat lapan).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan