SUKAN > BERITA

PENGANJUR LTDL 2024 PANTAU SITUASI CUACA TIDAK MENENTU MENJELANG HARI PERLUMBAAN

20/09/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Pihak penganjur Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 sedang memantau situasi cuaca tidak menentu yang melanda beberapa kawasan di negara ini menjelang aksi pembukaan jelajah berbasikal lebuh raya itu pada 29 Sept ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Abdul Rashid Yaakub berkata pihaknya juga akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan kelancaran perlumbaan berprestij di Asia itu.

“Kita memang merasai kebimbangan itu dan saya rasa semua orang pun sedar dengan keadaan cuaca terutama di beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung. Begitu juga di kawasan pantai kerana angin sangat kencang, menyebabkan feri tidak beroperasi.

“Namun, untuk menukar laluan mungkin sukar dilakukan. Mungkin masa pertandingan boleh dilakukan sedikit perubahan jika terdapat keperluan di situ,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata sekiranya cuaca tidak menentu itu masih berlaku, pihaknya mempunyai masa sembilan hari untuk membuat beberapa persediaan mahupun perubahan.

“Insya-Allah, kita harapkan cuaca itu memberi kemudahan untuk kita dan dapat meneruskan perlumbaan ini dengan lancar. 

“Macam mana sekali pun, kita bersedia dengan sebarang keadaaan,” katanya.

Perlumbaan LTDL 2024 akan bermula di Langkawi untuk Peringkat 1, diikuti Arau ke Butterworth (Peringkat 2), Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Bharu ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7) dan Bintulu (Peringkat 8).

Sebanyak 22 pasukan akan beraksi dalam perlumbaan berstatus ProSeries (2.Pro) yang menempuh jarak laluan keseluruhan 1,190 kilometer bermula di Pulau Langkawi dan buat julung kalinya memasuki Miri dan Bintulu di Sarawak.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan