SUKAN > BERITA

ADA KEPUTUSAN, ADA HASIL - BOON HEONG

21/09/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Bekas pemain badminton beregu lelaki negara Tan Boon Heong percaya hanya aksi konsisten dijelmakan gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani akan menjadi kunci kejayaan buat pasangan itu selepas mula bergerak secara profesional.

Boon Heong berkata menerusi konsistensi dalam mencatat keputusan positif pada pelbagai kejohanan selain disertakan disiplin diri yang tinggi, kedua-dua mereka tidak perlu risau akan ‘pengembaraan’ mereka bergelar pemain profesional.

“Ia sebenarnya langkah positif buat mereka bergerak profesional, cuma mereka perlu lebih berdisiplin dalam latihan. Sekarang ada yang boleh bantu mereka untuk sertai mana-mana kejohanan dan mereka juga lebih bebas berlatih.

“Mereka juga kini perlu bergantung sesama sendiri selepas tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Bergerak secara profesional memerlukan penaja, jadi bila ada keputusan, ada konsisten, benda lain tidak akan jadi masalah buat mereka,” katanya ketika ditemui pada kejohanan Piala Tiga Saga Li Ning di sini hari ini.

Sze Fei-Nur Izzuddin meninggalkan BAM dan bergerak secara profesional bermula 1 Sept lepas.

Sebelum keluar dari badan induk sukan itu, pasangan ranking ke-12 dunia itu meninggalkan kenangan manis dengan bergelar juara pada kejohanan Terbuka Jepun, Ogos lepas.

Terdahulu, pasangan itu menempah pertemuan menentang pasangan Indonesia Shohibul Fikri-Daniel Marthin di pusingan separuh akhir Terbuka China 2024 selepas menewaskan rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun di suku akhir semalam.

Aksi kelompok empat terbaik itu berlangsung hari ini di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, China.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan