SUKAN > BERITA

PENGORBANAN MEI HSIA HARUNGI HUJAN PANAS DIBAYAR EMAS

23/09/2024 08:20 PM

KUCHING, 23 Sept (Bernama) -- Pengorbanan atlet berkerusi roda wanita Sarawak Chow Mei Hsia mengharungi hujan panas menunggang motor untuk menjalani latihan membuahkan hasil apabila beliau menuai pingat emas ping pong pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 hari ini. 

Berkongsi jerih payahnya, atlet berusia 45 tahun itu berkata beliau yang menunggang motosikal roda tiganya untuk ke tempat latihan, pernah demam akibat berpanas dan ditimpa hujan demi memastikan pingat emas pada penampilan terakhirnya di temasya berprestij itu.

Dengan kejayaan itu, Mei Hsai berkata beliau akan menamatkan kariernya sebagai seorang atlet kerana mahu memberikan fokus kepada pemulihan tangan kanannya yang cedera. 

“Saya sampai demam sebab panas dan terkena hujan, bawa motor beroda tiga dengan kerusi roda di atasnya semata-mata untuk latihan, jadi saya rasa pingat ini berbaloi. Saya berulang-alik menaiki motosikal setiap kali mahu latihan,” katanya kepada Bernama selepas tamat acara di Sekolah Jenis Kebangsaan (China) Chung Hua No.3 di sini hari ini. 

Terdahulu, acara kerusi roda perseorangan wanita terbuka menyaksikan Mei Hsia merangkul pingat emas selepas mengetepikan ketiga-tiga cabaran pada pusingan kalah mati. 

Pada perlawanan pertama Mei Hsia menundukkan pencabar Sabah Rahimah Andungai dalam perlawanan sengit 13-11, 11-6,6-11, 2-11,11-3 sebelum mengetepikan Siti Nur Amirah Hamizul dari Perak 11-9, 13-11, 11-6 pada perlawanan kedua. 

Atlet kelahiran Sarawak itu kemudian mengecewakan pencabar Perak Nurul Fatihah Jamaludin 11-7, 11-2, 11-5 untuk membawa pulang pingat emas buat tuan rumah. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan