TINTA MINDA

TEKNOLOGI AI MAMPU MENINGKATKAN PRESTASI PERTANIAN BANDAR

20/05/2024 11:13 AM
Pendapat mengenai pelbagai isu semasa daripada peneraju pemikiran, kolumnis dan pengarang.

Oleh: Rusli bin Abdullah

Pertanian bandar kini telah semakin popular dalam kalangan penduduk di bandar, lebih-lebih lagi dengan peningkatan harga barangan pengguna seperti bahan makanan dan sayur-sayuran.

Dalam hal ini, pertanian bandar yang melibatkan urusan penanaman tanpa penggunaan tanah yang banyak telah menjadi pilihan pengguna untuk bercucuk tanam bagi menampung keperluan seharian.

Antara tanaman yang menjadi pilihan mereka termasuklah beberapa jenis tanaman makanan dan sayur-sayuran seperti sawi, tomato, cili, kangkung dan lain-lain lagi.

Kaedah penanaman yang juga dikenali sebagai kaedah hidroponik ini biasanya dijalankan di bawah persekitaran pertanian terkawal (CEA) bagi mengelak daripada serangan luar jangka terhadap tanaman mereka seperti perubahan cuaca, serangan serangga dan sebagainya.

Sehubungan itu, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat mampu membantu pengusaha pertanian yang berasaskan kepada CEA bagi mengurus, memantau dan membuat ramalan tertentu terhadap penanaman di kawasan yang berkenaan.

Dengan penggunaan teknologi AI ini juga, pertanian bandar dilihat dapat meningkatkan prestasi tanaman mereka melalui penghasilan keluaran atau produk tanaman yang dapat menyokong usaha semua pihak terutamanya yang melibatkan keterjaminan makanan atau persekitaran food security.

Peranan AI di dalam mempertingkatkan prestasi pertanian bandar

Terdapat pelbagai peranan teknologi AI yang boleh berfungsi dengan baik dan berkesan bagi meningkatkan prestasi pertanian bandar.

Dalam hal ini, teknologi AI boleh digunakan sebagai peralatan untuk menyokong petani bagi membuat pengurusan terutamanya yang melibatkan aktiviti perancangan yang berasaskan kepada data-data yang diperolehi melalui saluran utama atau sekunder seperti media cetak atau elektronik bagi memulakan proses penanaman ini.

Selanjutnya, teknologi AI boleh juga digunakan untuk memantau proses pelaksanaan penanaman terutamanya dengan menggunakan alatan seperti Internet benda (IoT) bagi memperolehi data dan seterusnya menganalisis data tersebut berdasarkan keperluan semasa pengguna.

Hasil daripada pemantauan yang dijalankan secara berkala dan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) dapat mengenal pasti punca masalah dan menyelesaikannya dengan serta merta. Dengan yang demikian, prestasi tanaman dapat dikawal dan jangkaan hasil tanaman dapat dipertingkatkan dan dikawal selia di mana-mana dan pada setiap masa.

Selain dari itu, dengan menggunakan teknologi AI ini, sistem maklumat tanaman (SMT) yang dibangunkan juga dapat berfungsi sebagai alat untuk memberi peringatan awal atau early warning system (EWS) terhadap permasalahan yang mungkin timbul seperti faktor kekurangan air, gangguan serangga dan sebagainya.

Selanjutnya, dengan teknologi AI yang digabungkan dengan sistem SMT yang disambungkan dengan rangkaian komputer awan dan 5G serta disambungkan dengan sumber data pelbagai iaitu data raya (Big Data), ianya juga mampu buat analisis data serta membuat ramalan terhadap kemungkinan kejadian peristiwa yang tidak baik yang mungkin berlaku dan sebaliknya.

Isu dan cabaran

Terdapat pelbagai isu dan cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan pertanian bandar melalui bantuan teknologi AI ini dapat digunakan dengan sebaik-baiknya bagi menyokong keterjaminan makanan.

Dalam hal ini, infrastruktur yang digunakan oleh semua pihak berkepentingan perlulah berkesan dan efisien serta boleh digunakan di mana-mana dan pada setiap masa.

Seterusnya, tahap capaian kepada sistem secara digital melalui teknologi komunikasi 4G atau 5G dengan menggunakan aplikasi bergerak atau mudah alih untuk menyokong penggunaan sistem SMT sangat penting di mana ianya perlulah seimbang dan inklusif terutamanya oleh pihak berkepentingan yang berada kawasan bandar dan luar bandar

Semua pihak berkepentingan juga perlu mempertingkatkan ilmu dan kemahiran (upskilling) bukan sahaja yang melibatkan usaha atau inisiatif terhadap pertanian bandar sahaja malah ilmu penggunan teknologi AI atau teknologi terbaharu juga perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Kesimpulan

Penggunaan teknologi AI dilihat sangat berupaya dalam mempertingkatkan prestasi pertanian bandar ke tahap yang lebih cemerlang terutamanya bagi memastikan survival kehidupan dapat dilestarikan dan diurus dengan efisien dan berkesan.

Kemunculan teknologi AI bersama-sama dengan teknologi terbaharu ini juga akan mengubah norma lama pertanian kepada norma baharu yang menekankan kepada aspek atau urusan pertanian moden yang lebih berbentuk digital yang lebih terurus, bersistematik dan beretika.

Seterusnya, semua pihak yang berkepentingan akan memperoleh hasil pengeluaran yang lebih baik dan boleh memperbaiki prestasi pendapatan ke arah yang lebih tinggi dengan penjimatan kos dan masa serta penggunaan sumber yang optimum.

--BERNAMA

Rusli bin Abdullah ialah Profesor di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti PM. Ahli Pemikir di Institut Pengajian Sosial (IPSAS), UPM, Timbalan Pengerusi Kluster ICT, Majlis Profesor Negara

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)