WILAYAH - TIMUR > BERITA

150 SUKARELAWAN, PELANCONG ANTARABANGSA BAKAL SERTAI PROGRAM PEMBERSIHAN DI PULAU PERHENTIAN

19/06/2024 05:59 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Jun (Bernama) -- Kira-kira 150 sukarelawan dan pelancong dari luar negara akan bergotong-royong membersihkan Pulau Perhentian dekat Kuala Besut dan kawasan sekitar melalui program Dive Against Debris (DAD), pada Jumaat hingga Ahad ini.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Salam Malaysia (Salam) dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi program DAD yang memasuki fasa kedua itu, lebih 20 penyelam sukarelawan akan mengutip sampah di dasar laut manakala 130 sukarelawan bukan penyelam pula membersihkan pantai di Pulau Perhentian Kecil dan kawasan sekitar.

“Kesemua sukarelawan luar negara seperti China, Jordan, Pakistan, Nigeria dan Iraq bersama pelancong yang bercuti dan menetap di Pulau Perhentian akan menyertai program ini.

“Sampah yang dikutip akan diasingkan mengikut kategori dan jenis, kemudian ditimbang dan direkodkan bagi pengumpulan data. Data akan dihantar kepada pihak Taman Laut, PADI AWARE Foundation dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mematuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pertubuhan itu,” menurut kenyataan itu.

Salam turut memberitahu program DAD itu merupakan kerjasama antara pihaknya dengan rakan strategik termasuk pihak swasta, NGO, Pejabat Pendidikan Daerah Besut dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

Selain pembersihan pantai, program turut diselitkan dengan ceramah Pemuliharaan Marin yang akan disertai 160 murid Sekolah Kebangsaan Pulau Perhentian bertujuan memberi kesedaran akan kepentingan menjaga kebersihan pantai dan menanam semangat kecintaan terhadap laut. 

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan