WILAYAH - TIMUR > BERITA

PERHILITAN TERENGGANU KESAN GAJAH HAMPIRI RUMAH PENDUDUK

20/06/2024 06:55 PM

JERTIH, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu melaksanakan operasi mengesan seekor gajah liar didakwa berkeliaran berhampiran penempatan dan merosakkan kebun penduduk di Kampung Pak Sik, Hulu Besut di sini.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata pihaknya melaksanakan operasi berkenaan sejak 10 Jun lepas susulan aduan diterima daripada penduduk kampung terbabit.

Beliau berkata enam anggota Perhilitan ditugaskan dalam operasi itu dan sehingga petang ini, masih belum berjaya menangkap gajah berkenaan.

“Pasukan tersebut masih berusaha untuk mengesan gajah jantan itu yang dipercayai masih berada di sekitar kampung. Operasi sebelum ini dihentikan seketika apabila gajah lari masuk ke dalam hutan simpan berhampiran dan disambung semula apabila ia kembali masuk ke kampung,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 11 Mei lepas, seekor gajah jantan telah muncul kampung tersebut dan merosakkan tanaman penduduk sebelum ia ditangkap oleh Perhilitan Terengganu serta dipindahkan jauh daripada kawasan terbabit.

Namun selepas beberapa hari kemudian, penduduk sekali lagi digemparkan dengan kemunculan seekor lagi gajah didakwa lebih agresif meskipun saiznya lebih kecil berbanding yang sebelumnya.

Menurut seorang penduduk kampung, Zanji Zakaria, 52, berkata kehadiran gajah berkenaan disedari isterinya pagi semalam apabila mendapati pokok pisang berdekatan rumah mereka tumbang selain terdapat kesan tapak kaki gajah di atas jalan.

“Saya dan keluarga tidak berani untuk keluar malam manakala penduduk berhampiran pula takut untuk keluar menoreh getah kerana bimbang keselamatan mereka,” katanya.

Justeru, Zanji dan penduduk kampung berharap gajah itu dapat segera ditangkap bagi memastikan keselamatan penduduk dan turut mengucapkan terima kasih kepada anggota Perhilitan yang bertungkus-lumus dalam usaha mengesan gajah berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan