WILAYAH - SELATAN > BERITA

PAMERAN HANG TUAH TARIK KEDATANGAN LEBIH 10,000 PENGUNJUNG

24/06/2024 08:29 PM

MELAKA, 24 Jun (Bernama) -- Pameran Hang Tuah yang sedang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, berjaya menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung sejak dibuka pada 10 Jun lepas.

Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak 1,200 pelajar dan 75 guru dari 23 sekolah di sekitar Melaka Tengah dan Jasin turut mengunjungi pameran hingga 10 Julai itu.

"Harga tiket bagi pelajar sekolah secara berkumpulan juga hanya RM100 membabitkan 40 pelawat," menurut kenyataan itu.

Pameran Hang Tuah dibahagikan kepada beberapa ruang galeri mengenai pengisahan riwayat hidup, keperibadian, koleksi manuskrip, dan artifak yang dikongsikan dari Kepulauan Bentan, Singapura dan Pattani, termasuk keris sembilan lok dari Muzium Okinawa, Jepun dan dokumen Rekidai Hoan daripada kerajaan Ryukyu.

Kenyataan itu memaklumkan pameran berkenaan turut membawa pengunjung melihat replika meriam terbesar pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu ‘Peca de Malacca' yang dijumpai di Lisbon Military Museum Portugal, selain paparan zon interaktif yang menampilkan Silat Hang Tuah, artifak, manuskrip dan filem berkaitan kehebatan Laksamana Hang Tuah yang dipentaskan di India.

"Terokai juga sejarah Laksamana Hang Tuah dan dapatan kajian terkini yang mengukuhkan kewujudan beliau melalui sumber-sumber baharu yang ditemukan dari serata dunia seperti Belanda, Jepun, India, Portugal, China, Indonesia, dan Thailand.

"Pameran ini bukan sekadar mempersembahkan sejarah, tetapi juga bertujuan memupuk jati diri generasi muda dengan semangat Hang Tuah yang tidak pernah pudar," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan